Skip to main content

Seperti anda, saya sendiri sering menonton video-video di internet yang memperlihatkan pelbagai jenis perabot yang boleh dilipat yang memfokuskan ciri penjimatan ruang. Namun, untuk memiliki set perabot kompak tersebut agak mahal memandangkan ianya dihasilkan dengan sangat terperinci, sekaligus ianya menjadi satu impian sahaja.

Namun, kini anda mungkin dapat merealisasi rumah impian anda tersebut melalui permainan The Sims 4 yang mana EA hari ini memperkenalkan DLC baharu “Tiny Living” di mana ianya memfokuskan set perabot kompak dan rumah kecil.

Melalui DLC ini, pemain berupaya untuk membuat pilihan untuk membina rumah kawasan kediaman rumah kecil yang mengehadkan kawasan 100 tapak kawasan sahaja. Pemain kemudian berupaya untuk menghiaskan pelbagai set perabot kompak yang boleh dilipat dan sebagainya, seperti yang sering kita lihat di internet.

Menariknya, melalui kediaman rumah kecil ini, EA juga menyatakan bahawa jumlah bil juga akan berkurangan dan pada masa yang sama mereka juga menyertakan sebilangan pakaian baharu buat watak-watak The Sims 4, bersama DLC ini.

Menurut EA, DLC “Tiny Living” buat The Sims 4 ini akan dilancarkan pada 21 Januari 2020 di PC. Manakala bagi pemain di konsol PlayStation 4 dan Xbox One, ianya bakal tiba pada 4 Februari 2020.

Semestinya DLC ini akan dijual secara berasingan seperti DLC yang dilancarkan sebelum ini buat permainan The Sims 4. Akan tetapi dari segi harga, ianya masih belum diumumkan.

Leave a Reply