Beberapa tahun lepas ketika acara Nintendo Direct, Cardboard Computer mengumumkan bahawa permainan Kentucky Route Zero akan dilancarkan di konsol, di mana ianya asalnya adalah permainan berepisod yang telah pun dilancarkan di PC.
Terkini, melalui kerjasama bersama Annapurna Interactive, bahagian akhir permainan tersebut dan versi konsol, akhirnya menerima tarikh pelancaran di mana ianya bakal tiba di PlayStation 4, Xbox One dan Switch pada 28 Januari 2020 ini.
Dengan nama Kentucky Route Zero: TV Edition, versi konsol permainan ini akan menyertakan kesemua episod permainan tersebut yang dilancarkan sebelum dan buat mereka yang mempunyai permainan tersebut di PC sebelum ini, episod kelima ataupun episod akhir juga akan tiba secara kemaskini permainan tersebut pada tarikh yang sama di Steam.
Kentucky Route Zero merupakan permainan pengembaraan yang memfokuskan tukang penghantar barang di mana beliau membuat sebilangan penghantaran dan bertemu dengan pelbagai jenis watak. Pemain kemudian akan menerokai lebuh raya Kentucky dan pelbagai lagi lokasi dengan pelbagai kenderaan.
Bagi anda yang berminat, episod satu hingga empat boleh dimainkan sekarang di Steam dengan harga hanya RM47. Namun bagi anda yang ingin nantikan versi konsol iaitu Kentucky Route Zero: TV Edition, anda boleh dapatkannya menjelang penghujung bulan ini.