Selain daripada pengumuman logo PlayStation 5 ketika di acara CES 2020 di Las Vegas, Amerika Syarikat hari ini, Jim Ryan iaitu presiden Sony Interactive Entertainment juga berkongsi beberapa informasi berkenaan hasil jualan dan edaran buat konsol PlayStation 4.
Menurut Jim Ryan, konsol PlayStation 4 telah pun terjual sebanyak 106 juta unit setakat ini seluruh dunia. Sebelum ini kami melaporkan yang mana konsol tersebut telah pun terjual melebihi konsol asal PlayStation.
Selain itu, Jim Ryan juga mengumumkan bahawa terdapat 1.15 bilion permainan yang terjual di konsol tersebut dengan 103 juta pemain aktif. Menariknya 38.8 juta daripada adalah pelanggan PlayStation Plus.
Jim Ryan juga berkongsi berkenaan jualan PlayStation VR yang mana kini mencapai 5 juta unit, sekaligus peningkatan sebanyak 800,000 unit berbanding awal tahun lepas.
Dengan kesempatan itu, Jim Ryan juga memperlihatkan senarai-senarai kemaskini yang mereka lancarkan sepanjang jangka hayat PlayStation 4.
Seperti anda sedia maklum, PlayStation 5 sememangnya disahkan bakal tiba penghujung tahun ini yang mana kami percaya Sony akan meneruskan inovasi mereka untuk konsol generasi seterusnya dengan pelbagai lagi fungsi dan kemaskini baharu.