Skip to main content

The New Mutants adalah sebuah lagi filem dalam dunia X-Men. Tetapi berbeza dengan X-Men, filem ini dikatakan akan mempunyai elemen baharu yang berbeza – seperti Deadpool yang mana walaupun berada dalam dunia yang sama ia mempunyai elemen asli yang tersendiri. Filem ini tidak akan ada penjahat, kostum adiwira dan sebagainya – tetapi adalah arah baru untuk sebuah filem adiwira. Semua watak adalah berasaskan komik, tetapi diubah menjadi filem seram.

Filem ini sepatutnya ditayangkan pada tahun 2018, kemudian ditangguh kepada tahun 2019 dan kemudian dikatakan batal dan mungkin akan disiarkan sahaja dalam Disney+. Namun akhirnya, segalanya berubah dan filem ini akan diteruskan ditayangkan di pawagam pada April 2020. Selepas dua tahun tangguh, dan video acah seram diperlihatkan – ini adalah video acah baharu buat filem The New Mutants versi “akhir”. Filem ini mengisahkan lima orang mutant yang baru sahaja mempelajari kuasa mereka dan ingin bebaskan diri dari “hospital” rahsia.

Saya katakan “akhir” kerana sebenarnya ini adalah versi filem yang asal dan tiada sebarang rakaman semula yang dilakukan. Fox pada mulanya inginkan filem ini dirakam semula sekitar separuh filem, kerana tidak ingin gagal seperti filem Fantastic Four. Tetapi selepas Disney membeli Fox, mereka gembira dengan hasil asal The New Mutants. Jadi, filem ini diluluskan dengan syarat segala kaitan dengan dunia X-Men zaman Fox perlu dibuang. Ini mungkin kerana Disney tidak ingin penonton keliru, kerana francais filem X-Men Fox sudah pun berakhir dengan Dark Phoenix. Suntingan yang dilakukan adalah menjadikan filem ini lebih seram. Menurut pengarah filem Josh Boone, beliau mengambil inspirasi dari filem A Nightmare on Elm Street 3: Dream Warriors (1987) – tetapi latar masa filem adalah zaman moden.

Antara pelakon-pelakon filem ini adalah Anya Taylor-Joy (sebagai Magik), Maisie Williams (sebagai Wolfsbane), Antonio Banderas dan ramai lagi. Tetapi banyak sahaja watak dari komik yang tidak disertakan, kerana arah filem adalah filem seram dan lain daripada yang lain. Tetapi watak seperti Sunspot, Cannonball dan Mirage dikatakan akan muncul. Filem ini akan ditayangkan di Malaysia pada 2 April dan diedarkan oleh Disney.

Leave a Reply