Studio pembangun permainan Arc System Works sememangnya sangat terkenal sebagai satu studio pembangun permainan perlawanan seperti Dragon Ball FighterZ dan Guilty Gear.
Minggu ini, mereka mengumumkan satu permainan baharu yang agak berlainan berbanding permainan mereka sebelum ini iaitu Code Shifter, di mana ianya memfokuskan bentuk permainan aksi platformer. Menurut mereka, permainan ini akan dilancarkan di konsol PlayStation 4, Xbox One, Switcj dam PC melalui Steam, sekitar suku pertama tahun ini.
Code Shifter memfokuskan pemain untuk bermain sebagai Stella, iaitu pembangun permainan di syarikat “Awesome Rainbow Corp. Melaluinya, Stella perlu menghapuskan pepijat-pepijat yang terdapat di dalam permainan yang dibangunkan oleh mereka dan untuk memudahkan tugas tersebut, Stella menghasilkan satu avatar digital, iaitu Sera melalui program Code Shifter, untuk bertempur dengan pepijat tersebut.
Semestinya konsep dan penceritaan ini sangat menarik yang meletakkan dunia permainan di dalam satu permainan beraksi. Menariknya juga, permainan ini akan menyertakan pelbagai watak-watak daripada siri permainan lain oleh Arc System Works seperti watak Guilty Gear, BlazBlue, River City dan sebagainya.
Kami akan mengemaskini informasi lanjut setelah ia diumumkan secara rasmi.