Skip to main content

Siri Modern Warfare di dalam dunia permainan Call Of Duty semestinya salah satu permainan yang dekat dengan saya sendiri di mana ianya bukan sahaja salah satu permainan penembak kesukaan saya beberapa tahun lepas, malah ianya adalah satu media permainan video yang mempunyai penceritaan dan bentuk multi-pemain yang sangat seronok untuk dimainkan.

Terkini, Activision membawa kembali siri tersebut dengan permainan olahan semula iaitu Call Of Duty: Modern Warfare di mana semestinya ianya dibangunkan oleh Infinity Ward dan permainan ini dilancarkan pada Oktober tahun lepas di konsol PlayStation 4, Xbox One dan PC.

Namun begitu, siri tersebut semestinya menjadi satu siri Call Of Duty yang menjadi ikutan ramai bukan sahaja ianya menyertakan bentuk permainan multi-pemain yang menjadi kegilaan ramai untuk membeli permainan Call Of Duty setiap tahun, bahkan siri ini juga menyertakan pelbagai watak-watak ikonik yang membuatkan penceritaan permainan ini menjadi epik.

Jadi ini adalah ulasan penuh saya untuk Call Of Duty: Modern Warfare yang mana saya berkesempatan untuk bermainnya di Playstation 4 Pro.

Cerita

Jika anda pernah bermain siri Modern Warfare sebelum ini, anda pasti akan menyukai permainan ini kerana kali ini ianya memfokuskan bentuk penceritaan berdasarkan watak-watak daripada siri tersebut. Namun, memandangkan permainan ini adalah olahan semula untuk siri tersebut, ia sekaligus mempunyai penceritaan baharu. Namun dengan penyertaan watak seperti Captain Price dan Nikolai, permainan ini semestinya akan memberi pengalaman nostalgia buat anda dengan penceritaan yang berlainan berdasarkan watak-watak tersebut.

Dari segi plot penceritaan, ianya tidaklah begitu kompleks untuk memahami kerana ianya adalah penceritaan asas peperangan di dalam dunia Modern Warfare seperti pergelutan kuasa antara dua negara dan juga beberapa aspek khianat yang sering diperlihatkan di dalam siri Modern Warfare.

Meskipun begitu, ini tidak bermakna penceritaan permainan ini tidak baik, ia masih lagi mempunyai beberapa adegan permainan yang boleh dikatakan epik dan menyeronokkan bagi saya. Jika ingin dibandingkan dengan siri sebelum ini, permainan ini berasa lebih ringan dan ringkas. Sekaligus ianya berasa agak kecil, dan kandungannya sedikit pendek di mana ia boleh dihabiskan beberapa jam sahaja.

Akan tetapi, memandangkan permainan ini tidaklah membawa sebarang kandungan dan bentuk plot yang baharu, ianya juga memberi kesan negatif kerana ianya membuatkan permainan ini berasa terlalu berulang jika ingin dibandingkan dengan siri sebelum ini, terutamanya sekitar hampir ke pengakhiran permainan ini.

Selain itu, ancaman yang terdapat di dalam permainan ini juga tidaklah terlalu besar seperti siri sebelum ini. Namun, saya percaya ini adalah kerana mereka ingin mengolah semula siri permainan ini, sekaligus mereka perlu melakukan penceritaan yang lebih ringan.

Ini sedikit sebanyak juga dapat dilihat dari segi misi-misi yang terdapat di dalam penceritaan permainan ini di mana terdapat beberapa misi yang memfokuskan serangan hendap secara kecil, di mana pemain akan menyelinap bangunan dalam gelap, dan musuh-musuh terdiri daripada anggota pengganas yang tidak berpengalaman. Misi-misi ini jugalah yang membuatkan permainan ini rasa lebih “kecil” namun ianya agak menjadi lebih nyata dan mengekalkan bentuk realisme.

Dari segi aspek perwatakan, Captain Price semestinya adalah perhatian utama untuk permainan ini di mana watak beliau bukan sahaja dipersembahkan dengan baik, malah setiap tindakan dan pilihan beliau di dalam permainan semestinya membuatkan anda terpegun. Untuk tidak membebernya, sudah pasti saya tidak berkongsi dengan lebih lanjut. Namun apa yang boleh katakan terdapat beberapa adegan di dalam awal permainan ini yang berasa sangat mengejutkan sekali lagi.

Secara keseluruhan, Call Of Duty Modern Warfare tidaklah membawa sesuatu yang baru buat siri tersebut, bahkan pada pendapat saya ianya tidaklah mempunyai kandungan jalan cerita sehebat sebelum ini di mana plotnya tidak terlalu mendalam. Meskipun begitu, saya percaya Infinity Ward akan teruskan siri untuk mengembangkan lagi penceritaan permainan ini dan membawa lebih banyak watak-watak dari siri Modern Warfare.

Grafik

Sudah semestinya visual grafik siri Call Of Duty tidak akan mengecewakan yang mana kali ini, apa yang saya boleh katakan adalah Infinity Ward menghasilkan satu kualiti permainan yang sangat menakjubkan sekali. Ini boleh diperlihatkan melalui kesan efek permainan jika anda bermain dengan resolusi 4k, anda pasti akan berpuas hati.

Seperkara yang saya sangat menyukai Call Of Duty: Modern Warfare kali ini adalah terdapat beberapa misi yang terdapat di dalam permainan ini memfokuskan bentuk pertempuran dan penerokaan di dalam gelap. Ini sekaligus memerlukan pemain untuk menggunakan gogal penglihatan gelap yang mana permainan ini berjaya menghasilkan visual yang sangat mengasyikkan.

Ketika melakukan misi tersebut, saya sangat menyukai bentuk kegelapan yang dihasilkan oleh Infinity Ward yang mana ianya bukan sahaja memberi pengalaman yang sangat sempit malah sangat nyata, yang mana membuatkan saya betul-betul berada di lokasi tersebut.

Kesan daripada itu juga dapat dilihat melalui visual permainan seperti setiap kali anda menembak, anda dapat lihat asap-asap yang terkeluar dari laras senapang anda ataupun percikan api, yang mana kelihatan sangat realistik. Rekaan senapang juga berasa sangat nyata dan menarik, terutamanya ketika sesi pengubah-suaian yang terdapat di dalam mod multi-pemain, yang mana pasti akan memberi mimpi basah buat mereka yang menyukai aksesori dan pernaik-tarafan senapang yang pelbagai.

Selain itu, rekaan visual untuk riak wajah watak juga dihasilkan dengan, bahkan saya tidak berasa permainan ini mempunyai sebarang masalah dari segi visual langsung dan boleh dikatakan ini adalah permainan yang sempurna dari segi aspek tersebut.

Manakala dari segi prestasi, permainan ini dimainkan dengan baik sekali dalam resolusi 4K dengan kadar bingkai sesaat sebanyak 60FPS, yang mana pada pendapat saya adalah sangat bagus untuk pemain penembak. Saya juga tidak menghadapi sebarang masalah ataupun pepijat.

Audio

Boleh dikatakan menjadi satu kesalahan jika anda tidak bermain permainan ini dengan menggunakan fon kepala ataupun set pembesar suara yang berkualiti tinggi kerana Call Of Duty: Modern Warfare mempunyai bentuk dan rekaan audio yang sangat sempurna.

Bukan sahaja bunyi setiap kali ini mengisi peluru, letupan ataupun menembak sangat realistik, malah setiap kali ada tembakan peluru yang berdekatan, membuat akan anda berasa seolah berada di peperangan tersebut kerana ianya tersangatlah bagus.

Selain itu, jika anda bermain permainan ini dengan fon kepala, kesan audio dan efek tapak kaki yang dihasilkan juga adalah sangat memberangsangkan. Bukan sahaja ianya membantu pemain ketika pemain bertempur dan berperang, malah apabila pemain berada di kawasan yang bising ataupun yang terlalu senyap, ianya memberi satu pengalaman yang sangat nyata sekali.

Apa yang membuatkan pengalaman audio permainan ini menjadi lebih baik juga adalah kesemua suara latar yang melakonkan watak-watak yang terdapat di dalam permainan ini melakukan satu tugas yang begitu baik sekali. Bahkan saya sendiri tidak menjumpai sebarang cacat cela langsung buat permainan ini dari segi audio.

Bentuk Permainan

Jika ingin bercakap berkenaan bentuk permainan Call Of Duty: Modern Warfare, sudah semestinya asas permainan ini adalah sama sahaja dengan siri Call Of Duty yang lain yang mana permainan ini sememangnya adalah permainan penembak pandang pertama.

Meskipun begitu, kali ini Infinity Ward berkesempatan untuk menyertakan beberapa bentuk permainan yang agak berbeza, tanpa mengubah sebarang asas utama bentuk permainan.

Antara perubahan terbesar saya berasa adalah kawalannya yang berasa agak perlahan jika ingin dibandingkan dengan permainan Call Of Duty sebelum ini, semestinya ini adalah kerana permainan ini lebih memfokuskan era dan zaman ini, yang mana permainan Call Of Duty sebelum ini mempunyai pelbagai gajet untuk melompat dan sebagainya.

Saya juga menyukai di mana pemain berupaya untuk meletakkan atau menahan senjata di penjuru dinding ataupun pintu. Bentuk ini juga memudahkan saya bukan sahaja untuk berlindung malah untuk menyasarkan sasaran lebih tepat. Dari segi gelongsor, permainan ini masih lagi mengekalkannya, namun ia tidaklah terlalu berlebihan seperti permainan sebelum ini dan segala pergerakan pemain masih lagi berasa nyata tanpa sebarang bentuk yang terlalu pelik.

Dari segi aspek menembak, saya boleh katakan ianya adalah sama sahaja dengan siri permainan sebelum ini. Aspek asas kawalan adalah sama sahaja di mana pemain boleh menyasar, menembak, memanjat dan sebagainya. Dari segi jenis senjata, seperti biasa pemain mempunyai senjata sokongan dan maut dan seperti bom kilat dan bom tangan.

Manakala rekaan peta juga dihasilkan dengan baik dan biasa sahaja. Namun memandangkan permainan ini sebelum mempunyai pelbagai bentuk pergerakan watak yang lebih bebas berbanding permainan ini dengan pertempuran di angkasa dan lokasi tinggi dan sebagainya, membuatkan Call Of Duty Modern Warfare ini berasa agak janggal dan ringkas jika ingin dibandingkannya. Namun saya memahami kerana kali ini, permainan Call Of Duty adalah lebih nyata dan ringan, sekaligus ia memerlukan peta lokasi yang lebih mendatar.

Akan tetapi perkara yang agak mengecewakan adalah musuh-musuh daripada mod solo yang mana sekali lagi mereka akan keluar dari lokasi pemain secara rawak, seperti mana siri Call Of Duty sebelum ini. Semestinya jika pemain bermain di tahap kesukaran yang lebih rendah ianya tidak menjadi satu masalah, namun jika pemain bermain di tahap kesukaran yang agak tinggi, ianya mungkin akan memberi sedikit cabaran buat pemain.

Akhir sekali, perkara yang mesti saya tekankan ketika mengulas permainan di konsol PlayStation 4 adalah sokongan papan kekunci dan tetikus yang mana ianya adalah satu fungsi yang sangat bagus sekali. Ini bukan sahaja memberi saya peluang untuk bertempur dengan lebih bagus, malah ia sekaligus membuatkan saya tidak perlu untuk membeli permainan ini di pelbagai platform jika saya ingin mainkannya antara menggunakan alat kawalan ataupun papan kekunci dan tetikus.

Multi-Pemain

Semestinya jika bercakap berkenaan permainan Call Of Duty, mod multi-pemain merupakan aspek terpenting sekali buat permainan tersebut yang mana saya boleh katakan, Call Of Duty: Modern Warfare tidak akan mengecewakan anda.

Setelah beberapa bulan permainan ini dilancarkan, saya boleh katakan multi-pemain permainan ini adalah sangat bagus dan dari segi prestasi ataupun masalah hubungan permainan, saya langsung tidak menghadapinya. Saya juga menyukai aspek rentas-platform buat permainan ini yang mana sekaligus ianya terus membuang sebarang halangan antara pemain dan pasti membuatkan pemain menjadi lebih senang untuk bertembung antara satu sama lain, walaupun di platform yang lain.

Dari segi aspek pengubah-suaian senjata iaitu fungsi Gunsmith yang terdapat di dalam mod multi-pemain, permainan ini semestinya menghasilkannya dengan sangat baik dengan pelbagai aksesori yang pemain boleh gunakan. Pemain juga boleh mengubah watak “Operator” pemain dan menghias senjata pemain dengan pelbagai pelekat, rantai kekunci dan sebagainya. Bentuk ini sememangnya adalah asas untuk semua siri Call Of Duty, namun melalui Modern Warfare ini, Infinity Ward sememangnya melakukan satu hasil yang sangat baik sekali.

Meskipun begitu, saya perlu bercakap berkenaan dua bentuk multi-pemain yang tersedia di mana permainan ini mempunya bentuk multi-pemain klasik yang memfokuskan peperangan secara kompetitif antara pemain, dan juga mod koperasi “Special Ops.

Mod peperangan multi-pemain tersebut adalah mod yang sentiasa berada di dalam siri Call Of Duty di mana anda keseluruhannya adalah sama sahaja dan Infinity Ward juga menyertakan beberapa bentuk permainan berbeza seperti perlawanan berpasukan, secara individu dan bentuk Domination yang memfokuskan pemain untuk mengawal lokasi.

Namun Infinity Ward juga menyediakan bentuk baharu iaitu Gunfight yang mana ianya memfokuskan bentuk dua lawan dua dengan senjata yang terhad. Bentuk ini agak seronok dan mencabar, terutamanya buat anda yang ingin bekerjasama bersama rakan dan bertempur dengan musuh secara taktikal. Namun saya sendiri tidak menyukainya kerana ianya berasa terlalu ringkas dan pantas.

Satu lagi bentuk baharu yang saya sangat sukai di dalam permainan ini adalah bentuk Ground War yang mana ia memfokuskan 32 pemain lawan 32 pemain di dalam lokasi yang luas. Bentuk ini sedikit sebanyak seakan bentuk berdasarkan permainan Battlefield di mana pemain berupaya untuk menggunakan kenderaan seperti helikopter dan kereta kebal dan bertempur untuk merebut kawasan.

Ianya agak seronok dan salah satu mod kesukaan saya kerana ia menempatkan pemain di lokasi yang sangat luas. Akan tetapi, mod ini agak menjengkelkan akibat terdapat beberapa pemain yang suka menggunakan senjata penembak hendap, yang mana sedikit sebanyak membuat ramai pemain lebih suka untuk “Camping” berbanding bertempur secara terus. Akan tetapi, pengalaman ini semestinya adalah berdasarkan jenis pemain yang anda temui di atas-talian, dan jika anda mendapat ramai pemain yang bagus, sudah semestinya bentuk ini menjadi sangat seronok sekali.

Selain itu, Disember lepas Activision juga melancarkan kandungan Battle Pass, yang mana ianya adalah langganan khas buat pemain untuk dapatkan pelbagai ganjaran, seperti mana permainan Fortnite lakukan. Secara asasnya, ianya berfungsi dengan baik dan saya sendiri menyukai beberapa ganjaran yang diberi seperti kemudahan untuk tingkatkan nilai EXP dengan lebih pantas dan sebagainya.

Manakala mod koperasi Special Ops sedikit sebanyak adalah mod yang menggantikan mod Zombi di dalam permainan Call Of Duty sebelum ini. Melalui mod ini, pemain akan bertempur barisan musuh mengikut objektif yang diberi dengan pelbagai jenis misi. Memandangkan mod ini memfokuskan kerjasama antara pemain, mod ini juga boleh dikatakan sangat mencabar dan pemain perlu bijak membantu antara satu sama lain yang mana pasti sangat seronok jika dimainkan bersama rakan-rakan. Mod ini juga menyertakan beberapa kandungan penceritaan yang mana pasti membuat peminat menyukai permainan ini.

Kesimpulan

Walaupun Call Of Duty: Modern Warfare mempunyai formula yang sama dengan siri-siri Call Of Duty sebelum ini, Infinity Ward masih lagi berjaya membawa kembali bentuk permainan penembak yang sangat ikonik dan seronok untuk dimainkan.

Tambahan itu dengan kandungan tambahan yang disertakan secara percuma seperti peta-peta lokasi daripada permainan Modern Warfare sebelum ini dengan sokongan rentas-platform buat mod multi-pemain, semestinya ini adalah permainan Call Of Duty yang terbaik buat mereka yang suka bermain secara atas-talian.

Dari segi aspek Battle Pass pula, boleh dikatakan permainan ini tidaklah terlalu memaksa pemain untuk membelinya, bahkan ganjaran yang terdapat hanyalah memfokuskan bentuk kosmetik, sekaligus saya berasa permainan ini adalah sangat adil.

Manakala dari segi aspek kawalan dan bentuk permainan, dengan kandungan multi-pemain yang memuaskan, semestinya ini adalah permainan Call Of Duty terbaik sepanjang generasi ini dan saya berharap Activision dan Infinity Ward meneruskan momentum ini untuk permainan Call Of Duty seterusnya.

Penafian: Kod permainan untuk Call Of Duty Modern Warfare disediakan oleh Activision.

Leave a Reply