5 Permainan Yang Mempunyai DLC Sebaik Permainan Asal

Penambahan kandungan ataupun DLC merupakan satu bahagian yang boleh dikatakan sebagai satu kepastian untuk permainan-permainan terkini. Ia mungkin hadir dalam bentuk penambahan yang besar, ada juga penambahan yang sedikit.

DLC juga terdapat pelbagai jenis, ada yang menambahkan penceritaan serta elemen baharu untuk bentuk permainan. Ada juga DLC yang sekadar menambah watak seperti permainan perlawanan ataupun kostum. DLC sering diperkatakan sebagai kandungan tambahan yang hadir sebagai pilihan dan tidak wajib untuk dimiliki.

Bagi saya, seperti pemain-pemain lain, akan mempunyai perasaan yang berbeza dengan DLC. Ada DLC yang berbaloi, ada juga DLC yang menjadikan penerbit permainan tamak.

Bagi saya, DLC yang terbaik ataupun berbaloi adalah DLC yang hadir untuk permainan yang pada asasnya telah memberikan pengalaman yang cukup, apabila DLC dikeluarkan ia akan menjadi satu penambahan yang layak digelar sebagai penambahan, dan bukan sekadar pengisi ruangan kosong yang di bawa oleh permainan asas.

Melalui artikel ini, saya akan senaraikan 5 permainan yang mempunyai DLC yang boleh dijadikan sebagai contoh untuk pembangun-pembangun lain bagi memastikan mereka menghasilkan DLC yang berbaloi untuk dibeli bahkan tidak menjadi sekadar pilihan sahaja.

The Witcher 3: Wild Hunt / Hearts of Stone Dan Blood & Wine

The Witcher 3: Wild Hunt adalah permainan ketiga untuk siri The Witcher oleh CD Projekt Red. Ia boleh dikatakan sebagai permainan yang menjadikan CD Projekt Red sebagai satu studio pembangunan mercu dan ia adalah di atas sebab yang kukuh.

Ia dikeluarkan pada 19 Mei 2015 akan tetapi masih lagi merupakan antara permainan terbaik untuk ramai pemain. Ia bukan sahaja permainan yang mempunyai rekaan dunia cantik tetapi juga mempunyai penceritaan yang sangat menarik serta kualiti permainan yang baik.

Satu lagi perkara yang sangat baik mengenai permainan ini adalah kualiti DLC yang disertakan. Saya boleh katakan mustahil untuk menulis mengenai senarai DLC terbaik tanpa menyertakan dua DLC The Witcher 3 di dalamnya.

DLC pertama iaitu Hearths of Stone dikeluarkan pada 13 Oktober 2015, menyertakan satu penceritaan yang sangat menyentuh hati. Pengenalan beberapa watak baharu dengan baik juga membuatkan pemain lebih tertarik dengan lore untuk siri The Witcher.

Manakala DLC kedua pula iaitu Blood & Wine adalah satu DLC yang harus menjadi tanda aras kepada semua permainan lain. Ia adalah DLC yang menyertakan kawasan, penceritaan dan watak baharu. Kandungan yang disertakan boleh dijadikan satu permainan yang dijual dengan harga penuh.

Jika CD Projekt Red mengasingkan Hearts of Stone dan juga Blood & Wine dan menjadikan ia sebagai The Witcher saya rasakan ia masih satu permainan yang baik, namun, oleh kerana ia sekadar DLC, anda kini boleh mendapatkan The Witcher 3: Wild Hunt Game of the Year Edition yang mengandungi kesemua DLC dengan satu harga yang sangat berpatutan.

XCOM 2 / War of the Chosen

XCOM 2 merupakan permainan strategi yang dikeluarkan pada tahun 2016 lagi. Ia merupakan permainan kedua untuk siri XCOM yang diolah semula oleh Firaxis Games selepas permainan pertama XCOM: The Enemy Unknown dikeluarkan pada tahun 2012.

Sejak daripada permainan pertama lagi melalui DLC The Enemy Within lagi Firaxis memperlihatkan bagaimana mereka boleh mengubah satu permainan melalui DLC. Begitu juga dengan XCOM 2 melalui penambahan War of the Chosen.

Permainan asas XCOM 2 bagi saya sudah cukup baik, ia membawa kembali apa yang terbaik daripada XCOM: The Enemy Unknown dengan pelbagai penambahan, melalui War of the Chosen saya merasakan bagai bermain satu permainan yang baharu dan layak untuk digelar sebagai XCOM 3.

Pelbagai elemen bentuk permainan ditambah menjadikan ia lebih mencabar, watak-watak baharu seperti The Chosen, dan juga rakan baharu juga memberi kelainan kepada permainan secara keseluruhan.

Jika anda tidak masih tidak memiliki XCOM 2, saya sangat mengesyorkan anda terus bermain War of the Chosen kerana ia sudah semestinya menjadikan keseluruhan permainan yang lebih baik.

Marvel’s Spider-Man / The City that Never Sleeps

Marvel’s Spider-man oleh Insomniac Games, bagi saya adalah permainan terbaik adiwira yang pernah dihasilkan, dan sudah semestinya permainan terbaik untuk watak Spider-man. Ia bukan sahaja mempunyai bentuk permainan yang menarik, tetapi juga penceritaan yang sangat baik.

Jika anda ingin membaca ulasan penuh saya untuk Marvel’s Spider-man, anda boleh lakukannya melalui pautan ini.

DLC untuk permainan iaitu The City that Never Sleeps dikeluarkan secara berperingkat dan mempunyai 3 bahagian, di mana bahagian pertama dikeluarkan pada bulan Oktober iaitu lebih sebulan selepas permainan asal dilancarkan.

Secara peribadi, saya sedikit kecewa kerana DLC dikeluarkan menghampiri dengan permainan asal kerana saya berpendapat mungkin kandungan DLC ini boleh dijadikan sebagai kandungan permainan asal berbanding sebagai DLC.

Namun, selepas mencuba DLC ini, saya boleh katakan ia masuk akal untuk dijadikan sebagai DLC kerana setiap kandungannya berkait dengan pasca-penceritaan untuk permainan asal. Saya juga merasakan ia adalah satu DLC yang baik.

Ia menyertakan pelbagai kandungan baharu seperti misi utama serta misi sampingan, penceritaan, watak, penjahat dan juga kostum. Walaupun jika mengikut jumlah jam, kandungan yang disertakan tidak lah sebanyak permainan asal akan tetapi ia satu penambahan yang baik untuk permainan ini.

Permainan ini kini ditawarkan dalam satu versi iaitu Game of the Year Edition yang menyertakan bersama dengan DLC tersebut. Jika anda baru sahaja membeli permainan ini, anda boleh katakan yang DLC ini adalah sebahagian daripada permainan asal.

Grand Theft Auto IV / The Lost & Damned Dan The Ballad of Gay Tony

Selepas mengeluarkan Grand Theft Auto: San Andreas, ia mengambil Rockstar 4 tahun untuk membangunkan dan mengeluarkan permainan terbaru buat siri ini iaitu Grand Theft Auto IV yang dikeluarkan pada tahun 2008.

Ia juga siri pertama Grand Theft Auto dikeluarkan untuk konsol yang lebih berkuasa iaitu PS3, Xbox 360 yang menyertakan kualiti serta dunia yang lebih besar dan menarik. Satu perkara yang bagi saya agak kurang untuk GTA IV adalah watak dan juga penceritaan.

Namun, perkara tersebut dipertingkatkan melalui 2 DLC yang dikeluarkan pada tahun 2009. Dua DLC tersebut adalah The Lost and Damned dan The Ballad of Gay Tony. Melaluinya, pemain akan menggunakan watak baharu dan penceritaan yang berbeza. Bagi saya, penceritaan yang disertakan terutama The Ballad of Gay Tony lebih menarik berbanding permainan asal.

Untuk permainan dunia terbuka, kandungan yang disertakan tidaklah banyak, kedua-dua DLC boleh dihabiskan dalam masa 20-30 jam, namun sebagai DLC ia adalah mencukupi.

Namun, selepas dua DLC ini, Rockstar tidak lagi mengeluarkan sebarang DLC untuk permainan GTA V mereka, sebaliknya lebih memfokuskan kandungan untuk GTA Online dan ia adalah perkara yang agak mengecewakan.

Dishonored

Dishonored adalah permainan pengembaraan aksi yang dibangunkan oleh Arkane Studios dan diterbitkan Bethesda Softworks. Ia sudah dikeluarkan sejak tahun 2012 lagi untuk hampir semua plaform.

Walaupun satu siri permainan baharu akan tetapi dengan penceritaan yang misteri bersama dengan perwatakan yang sangat menarik, ditambah lagi dengan bentuk permainan yang membuka peluang kepada pemain untuk memilih cara melepaskan satu peringkat, dengan membunuh ataupun menyelinap, ia adalah satu permainan yang sangat unik.

Manakala untuk DLC pula ia mempunyai tiga iaitu Dunwall City Trials, The Knife of Dunwalls dan The Brigmore Witches. Namun, DLC Dunwall City Trials adalah lebih kepada untuk pemain yang ingin menguji kemahiran di dalam permainan ini.

The Knife of Dunwalls dan The Brigmore Witches dikeluarkan pada tahun 2013 dan ia adalah dua DLC yang sangat baik. Perkara yang paling menarik mengenai DLC ini, pemain akan bermain sebagai Daud iaitu watak jahat di dalam permainan asal. Pertukaran watak yang dimainkan oleh pemain ini memberi perspektif berbeza, dan juga lebih memberi informasi kepada pemain apa yang berlaku di dalam permainan Dishonored.

Walaupun kandungan yang disertakan tidaklah banyak dan boleh dihabiskan dalam masa 4-5 jam sahaja, akan tetapi oleh kerana Dishonored sendiri satu permainan pendek, DLC adalah kandungan tambahan yang dihargai.


Lima permainan yang saya senaraikan di atas adalah beberapa contoh sahaja, terdapat banyak lagi permainan dengan DLC yang baik. Permainan seperti Borderlands 2, Warcraft III, Bioshock 2 contohnya juga mempunyai DLC yang mendapat pujian ramai, akan tetapi oleh kerana saya tidak pernah mencubanya saya tidak untuk menyenaraikan di sini.

Jika anda ada permainan-permainan lain yang patut disenaraikan, jangan lupa untuk kongsikan permainan tersebut di ruangan komen.

Sohor Kini