Menurut laporan Deadline, filem aksi-nyata Uncharted tampaknya sekali lagi mempunyai masalah berkenaan pengarah filem tersebut di mana Travis Knight, sebelum ini dilaporkan akan menjadi pengarah filem tersebut terpaksa menarik diri akibat masalah jadual Tom Holland.
Menurut laporan, ini adalah disebabkan penjadualan Tom Holland berkenaan filem Spider-Man seterusnya yang bercanggah dengan filem Uncharted tersebut. Ini sekaligus membuatkan filem tersebut mungkin akan ditundakan, namun Sony mengesahkan yang mana mereka masih lagi ingin menghasilkan filem tersebut bersama Tom Holland dan Mark Wahlberg disahkan akan masih lagi melakonkan watak Nathan dan Sully.
Buat masa ini, Sony masih lagi mencari pengarah baharu buat filem ini yang mana ini merupakan penukaran pengarah yang kelima buat filem ini, sepanjang pengumumannya beberapa tahun lepas.
Seperti yang dilaporkan oleh kami, filem ini akan di terbitkan oleh Atlast Entertainment dan Arad Productions manakala skrip pula akan dihasilkan oleh Rafe Judkins, Art Marcum dan Mat Halloway. Selain itu, Deadline juga mengesahkan bahawa PlayStation Productions iaitu studio produksi filem oleh Sony Interactive Entertainment juga akan terlibat dengan produksi filem aksi-nyata Uncharted ini.
Semestinya sebagai seorang peminat siri Uncharted, kami agak kecewa dengan apa yang berlaku dan berharap agar Sony terus sahaja membatalkan filem ini memandangkan ianya mempunyai pelbagai masalah walaupun masih belum mula rakaman.