Antara perkara baharu yang kami sertakan di Aksiz pada tahun ini adalah Jeda iaitu bahagian baharu di mana kami memfokuskan kepada berita dan juga ulasan untuk filem pop-culture.
Secara keseluruhan terdapat 30 ulasan untuk filem dan juga TV siri oleh kami, dan berikut adalah 5 filem dengan markah ulasan tertinggi oleh kami untuk tahun 2019.
1. Ejen Ali: The Movie – 10/10
Kami boleh katakan Ejen Ali: The Movie adalah filem animasi terbaik yang kami tonton tahun ini dan bukan sekadar animasi tempat tetapi juga animasi dari luar negara. Ia mempunyai jalan cerita yang baik dan sukar untuk mencari cacat cela.
2. Toy Story 4 – 10/10
Toy Story 4 bagi kami berjaya mengembalikan kenangan mengenai filem Toy Story dengan penceritaan yang baik, ringkas dan mudah untuk difahami akan tetapi masih mempunyai impak emosi yang baik mengenai persahabatan. Ia sangat seronok untuk ditonton bukan sahaja yang mengikuti siri ini tetapi juga untuk penonton baharu.
3. Boboiboy Movie 2 – 9.5/10
Boboiboy Movie 2 bagi kami mempunyai produksi animasi yang sangat baik dan berkualiti tinggi. Manakala untuk penceritaan setiap watak yang hadir di dalam filem ini dilakukan dengan sangat baik termasuk juga untuk perkembangan watak. Ia adalah satu filem animasi tempatan yang boleh dibanggakan.
4. Joker – 9.5/10
Joker adalah satu adaptasi yang sangat berlainan untuk watak jahat daripada siri Batman ini. Ia mempunyai penceritaan yang perlahan akan tetapi sangat mendalam. Bermain dengan komentar sosial yang baik ia adalah satu filem yang akan mempunyai satu tempat tersendiri di dalam industri filem.
5. Spider-Man Far From Home – 9/10
Sebagai filem MCU seterusnya selepas Endgame, Spider-Man: Far from Home menjadi penutup yang sebenar bagi fasa 3 dan ia adalah satu penutup yang baik. Filem ini juga mempunyai pelbagai kejadian yang menjadi permulaan yang menarik untuk fasa-fasa seterusnya.
Ini adalah filem-filem yang mendapat markah ulasan terbaik untuk tahun ini. Seperti biasa, ia adalah berdasarkan pendapat kami dan sudah semestinya berbeza dengan anda. Jadi senaraikan filem-filem kegemaran anda untuk tahun ini di ruangan komen.
Jika anda berminat untuk melihat senarai permainan yang mendapat markah ulasan tertinggi, anda boleh membacanya di pautan berikut – 5 Permainan Dengan Markah Ulasan Tertinggi Di Aksiz Untuk Tahun 2019