Hari ini merupakan hari terakhir untuk tahun 2019, pada tengah malam ini, tahun baharu iaitu 2020 akan bermula. Sepanjang tahun 2019 ini, kami di Aksiz telah mengulas 36 permainan secara keseluruhan.

Melalui penulisan ini, kami akan senaraikan 5 permainan yang mempunyai markah ulasan tertinggi sepanjang tahun ini. Ia semestinya akan menyenaraikan antara permainan terbaik tahun ini, akan tetapi bukanlah terbaik.

Ini adalah kerana, tidak semua permainan yang kami main, mempunyai ulasan di Aksiz, selain itu markah tertinggi juga bukanlah satu-satunya penentu untuk menjadikan ia permainan terbaik.

Jika anda ingin mengetahui permainan terbaik pilihan kami, anda boleh menonton Disk-Aksiz yang kami sertakan di bawah.

Manakala jika anda ingin mengetahui permainan yang mendapat markah tertinggi bagi tahun ini, berikut adalah senarainya;

1. Death Stranding – 9.8/10

Permainan pertama oleh Hideo Kojima dan juga syarikat produksi beliau selepas beliau keluar daripada Konami merupakan permainan dengan markah tertinggi di Aksiz. Death Stranding mungkin mempunyai penerimaan yang berbeza, namun berdasarkan ulasan oleh Najmi, ia sememangnya boleh dikatakan satu ikon untuk industri permainan video, sepanjang zaman ini.

Ulasan Penuh – Ulasan Death Stranding – Karya Agung Hideo Kojima Yang Terlalu Bercita-Cita Tinggi

2. Devil May Cry 5 – 9.6/10

Percubaan Capcom untuk mengembalikan kegemilangan Devil May Cry melalui permainan ini tampaknya mendapat hasil dengan sangat berjaya. Najmi melalui ulasan beliau mengatkan ia mempunyai bentuk permainan aksi yang sangat baik, dan mungkin terbaik untuk tahun ini.

Ulasan Penuh – Ulasan Devil May Cry 5 – Capcom Kembali Dengan Permainan Aksi Terbaik

3. Resident Evil 2 – 9.5/10

Permainan olahan semula daripada permainan yang dikeluarkan pada tahun 1998 ini semestinya satu versi yang terbaik untuk permainan ini. Ia bukan sekadar olahan semula biasa, tetapi membawa satu pengalaman permainan yang baharu untuk pemain. Bahkan, Najmi sebagai pengulas untuk permainan ini mengatakan ia adalah penanda aras untuk permainan olahan semula yang perlu dilakukan oleh semua pembangun dan merupakan permainan Resident Evil terbaik setakat ini.

Ulasan Penuh – Ulasan Resident Evil 2 – Kembali Ke Tahun 1998 Dengan Permainan Olahan Semula Terbaik Oleh Capcom

4. Sekiro: Shadows Die Twice – 9.0/10

Permainan oleh From Software mempunyai pengikut tersendiri dan mereka jarang mengecewakan mereka. Ia sekali lagi dilakukan melalui Sekiro: Shadows Die Twice. Menurut Najmi selaku pengulas untuk permainan ini, ia adalah permainan aksi yang pasti tidak akan dilupai.

Ulasan Penuh – Ulasan Sekiro: Shadows Die Twice – Permainan Aksi Yang Menguji Kesabaran

5. Control – 9.0/10

Dengan gabungan penceritaan fiksyen sains dan misteri serta bentuk permainan yang sangat menarik, Control boleh dikatakan sebagai permainan terbaik yang pernah dihasilkan oleh Remedy Entertainment. Bagi Izzat yang mengulas permainan ini, ia adalah permainan aksi terbaik untuk tahun ini.

Ulasan Penuh – Ulasan Control – Permainan Aksi Terbaik Setakat Ini


Kami boleh katakan yang tahun 2019 adalah satu tahun yang baik untuk pemain dan juga industri permainan video. Tahun 2020 juga nampaknya akan bermula dengan baik dengan pelbagai permainan akan dikeluarkan sebelum memasuki generasi baharu konsol pada akhir tahun.

Jangan lupa untuk tinggalkan komen bagi senarai permainan terbaik pilihan anda.

Sohor Kini