Sejak pengumuman Bayonetta 3 pada 2017 lepas, Platinum Games jarang sekali berkongsi sebarang informasi lanjut berkenaan permainan tersebut bahkan tiada langsung video acah mahupun imej acah berkenaannya.

Semestinya apa yang kita tahu setakat ini berkenaan Bayonetta 3 adalah ia akan tiba secara eksklusif di konsol Switch yang mana sekali lagi akan diterbitkan oleh Nintendo.

Terkini, melalui akaun Twitter rasmi Hideki Kamiya iaitu pengarah untuk permainan Bayonetta pertama dan kedua, ketika ditanyakan soalan berkenaan pembangunan Bayonetta 3, beliau mengesahkan bahawa permainan tersebut sememangnya di dalam pembangunan dan ia berjalan dengan lancar setakat ini.

Semestinya ini bukanlah satu berita yang besar buat Bayonetta 3, namun dengan pengesahan tersebut oleh Hideki Kamiya sendiri, sekurang-kurangnya kita dapat tahu yang mana permainan tersebut sememangnya sedang dibangunkan dan bukanlah terhenti seketika walaupun Platinum Games mempunyai pelbagai permainan yang sedang dibangunkan oleh mereka seperti Babylon’s Fall.

Kami juga berharap agar Platinum Games dan Nintendo akan berkongsi video acah baharu Bayonetta 3 dalam masa terdekat ini.

Sohor Kini