Siri permainan Batman oleh Telltale merupakan antara siri kegemaran kami oleh mereka. Ia merupakan satu adaptasi yang baik untuk watak yang tidak perlu dipekenalkan lagi ini.

Minggu ini, Telltale dan Athlon Games melancarkan edisi lengkap untuk permainan tersebut iaitu The Telltale Batman Shadows Edition. Selain menyertakan kesemua 10 episod daripada 2 musim, ia juga menyertakan gaya grafik baharu iaitu mengikut gaya-noir atau hitam putih.
Anda boleh melihatnya melalui trailer yang kami sertakan di bawah, ia sudah semestinya memberi gambaran yang berbeza untuk permainan ini. Mungkin mencukupi untuk dijadikan alasan untuk bermain sekali lagi.
Batman Shadows Edition ini sudah boleh dibeli melalui Steam dengan harga RM32, jika anda sudah memiliki permainan ini, anda juga boleh membeli DLC untuk gaya grafik baharu sahaja dengan harga RM12.50.
Ia juga diumumkan untuk Xbox One akan tetapi buat masa ini, ia masih tidak tersenarai. Manakala di Epic Games Store, PlayStation 4 dan juga Switch ia akan tiba tidak lama lagi.
Selepas jenama Telltale dihidupkan semula oleh sekumpulan pelabur, mereka aktif membawa kembali permainan-permainan daripada studio ini di mana baru-baru ini mereka juga mengumumkan bakal mengeluarkan sambungan untuk The Wolf Among Us.