Kazutaka Kodaka iaitu pencipta buat siri Danganronpa minggu ini mengumumkan yang mana beliau bersama Izanagi Games akan melancarkan permainan baharu yang dipanggil Death Come True.

Buat masa ini, tarikh pelancaran dan platformnya masih belum diumumkan. Namun ianya disahkan bakal tiba sekitar tahun hadapan di pasaran Jepun. Dari segi pasaran global, ianya masih belum diumumkan.

Menariknya juga, permainan ini dibangunkan di dalam bentuk FMV (Full Motion Video) iaitu bentuk permainan menggunakan adegan nyata, seperti permainan Her Story dan Erica, yang mana pasti membuahkan bentuk lakonan yang menarik.

Selain itu, Izanagi Games juga berkongsi salah satu watak utama yang bakal tiba di dalam permainan ini iaitu Kanata Hongo, di mana beliau akan melakonkan watak Makoto Karaki, iaitu watak utama buat permainan Death Come True.

Berdasarkan kenyataan watak beliau di dalam laman rasmi Death Come True, permainan ini akan bertempatkan di sebuah hotel di mana watak Makoto Karaki disyaki sebagai pembunuh untuk pembunuhan bersiri. Namun beliau terbangun di hotel tersebut tanpa sebarang memori. Akan tetapi, beliau mempunyai satu kemahiran iaitu “Time Leap” di mana beliau berupaya untuk kembali ke saat sebelum dia mati, di mana pemain akan menyelesaikan misteri permainan ini melaluinya.

Death Come True juga dilaporkan sebagai satu permainan interaktif yang menggabungkan bentuk filem dan permainan dan segala pilihan pemain akan memberi kesan terhadap pengakhiran permainan tersebut.

Seperti biasa kami akan kongsikan sebarang informasi tambahan setelah ia diumumkan kelak.

Sohor Kini