Ghostbusters adalah filem supernatural komedi yang ditayangkan pada tahun 1984 dan sekuelnya ditayangkan pada tahun 1989. Filem ini diarahkan oleh Ivan Reitman dan ditulis oleh Dan Aykroyd dan Harold Ramis. Hanya selepas 27 tahun filem olahan semula Ghostbusters, berjudul Ghostbusters: Answer the Call ditayangkan. Filem ini bukannya sekuel tetapi diolah semula dengan watak utama adalah versi wanita, tetapi masih menghargai filem yang asal.

Pada tahun hadapan, iaitu 2020 – akan ada filem Ghostbusters keempat pula. Filem ini berjudul Ghostbusters: Afterlife. Berita ini mula dilaporkan pada awal tahun dan tidak banyak yang Sony kongsi. Hanya ada sedikit klip memperlihatkan kenderaan Ghostbusters sahaja. Kini selepas hampir setahun, video acah pertama diperlihatkan. Dari apa yang boleh kami lihat dalam video acah, ia adalah sekuel secara terus dari filem Ghostbusters 2. Tetapi berlaku di zaman sekarang. Menurut video acah, sudah 30 tahun tiada kejadian ghaib/berhantu berlaku.

Filem ini dilihat lebih serius dan mungkin juga seram. Tidak lupa juga yang teknologi CGI sekarang sudah lebih canggih dan hasilnya adalah realistik. Ada kemungkinan besar elemen komedi akan berada dalam filem ini, kerana watak bernama Mr. Grooberson dilakonkan oleh Paul Rudd (Ant-Man). Selain itu, Finn Wolfhard (Mike Wheeler, Stranger Things) akan berlakon sebagai Trevor – iaitu salah seorang dari watak utama juga. Pelakon asal seperti Bill Murray dan Dan Aykroyd akan kembali sebagai Peter Venkman dan Dr. Raymond Stantz.

Seperti filem Ghostbusters tahun 2016, filem ini juga diterbit oleh Ivan Reitman. Tetapi diarah dan ditulis oleh anak beliau Jason Reitman. Filem ini hanya akan ditayangkan pada musim panas 2020. Jadi bagi yang berminat, sama-sama kita nantikan.

Sohor Kini