Skip to main content

Awal minggu ini, kami baru sahaja melaporkan yang mana Tetsuya Nomura berkongsi beberapa informasi lanjut berkenaan DLC Re:Mind buat permainan Kingdom Hearts 3 yang mana bakal tiba tidak lama lagi.

Terkini, tampaknya anda mungkin tidak perlu menanti dengan lebih lama di mana Square-Enix hari ini secara tidak sengaja telah memuat-naik video acah baharu buat DLC tersebut bersama-sama dengan tarikh pelancaran DLC tersebut.

Melalui video acah tersebut, Square-Enix memperlihatkan pelbagai kandungan baharu yang bakal tiba buat DLC Re:Mind yang mana peminat siri Kingdom Hearts pasti akan berpuas hati kerana kali ini, watak-watak dari Final Fantasy seperti Aerith, Leon dan Yuffie akhirnya diperlihatkan secara rasmi.

Melaluinya, kelihatan pemain akan berinteraksi bersama mereka melalui lokasi Radiant Garden dengan menggunakan Riku. Selain itu, pemain juga kelihatan berupaya untuk bermain sebagai Kairi dan Ventus dengan bentuk pertempuran dan senjata Keyblade mereka tersendiri.

Menariknya juga, lokasi Scala Ad Caelum di dalam video acah tersebut juga diperlihatkan dengan lebih luas dan kelihatan pemain berupaya untuk mengembara di kawasan yang lebih terbuka.

Menurut laporan, DLC ini akan dilancarkan di konsol PlayStation 4 dahulu pada 24 Januari 2020 dan diikuti versi Xbox One pada 25 Februari 2020.

Kingdom Hearts 3 merupakan permainan aksi RPG yang dibangunkan oleh Square-Enix dan telah pun dilancarkan awal tahun ini di konsol Playstation 4 dan Xbox One. Kami di Aksiz juga sebelum ini telah pun mengulaskannya di sini. Square-Enix juga sebelum ini telah melancarkan demo khas buat mereka yang masih belum mencubanya.

Leave a Reply