Selain melihat permainan kegemaran memenangi pelbagai anugerah, The Game Awards juga menjadi tempat pengumuman permainan-permainan baharu.
Geoff Keighley iaitu penerbit untuk anugerah tersebut melalukan sesi soal jawab di Reddit. Antara soalan yang ditanya adalah jumlah pengumuman yang akan dilakukan, di mana beliau mengatakan akan ada 10 permainan/projek baharu.
Satu permainan yang kami menjangkakan akan diumumkan semasa acara ini adalah Resident Evil 3 Remake yang tertiris sebelum ini. Namun, Keighley mengatakan mereka tidak ada perancangan untuk mengumumkan apa-apa mengenai Resident Evil 3 dan mengatakan banyak perkara teritir mengenai acara tersebut adalah salah.
Beliau juga mengambil peluang untuk menjawab kontroversi mengenai perhubungan beliau dengan Hideo Kojima dan permainan Death Stranding tercalon untuk 9 anugerah. Mengenainya beliau mengatakan yang Hideo Kojima adalah sahabat baik beliau, tetapi beliau sebagai penerbit tidak pernah terlibat di dalam proses pemilihan dan juga pengundian untuk memilih pemenang.
Tambah beliau lagi, untuk memastikan The Game Awards berjaya beliau mempunyai perhubungan rapat dengan banyak pembangun dan penerbit permainan tetapi ia tidak akan memberi kesan kepada pemilihan pemenang.
Acara The Game Awards 2019 akan disiarkan secara langsung di laman Youtube rasmi The Game Awards pada 13 Disember 2019 ini bermula jam 9:30 pagi.