Informasi Permainan Video Terkini
Berkas Permainan Pernambah-Baikkan Bayonetta Dan Vanquish Tertiris – Bakal Tiba Tahun Hadapan

Berkas Permainan Pernambah-Baikkan Bayonetta Dan Vanquish Tertiris – Bakal Tiba Tahun Hadapan

Diterbitkan pada Dis 6, 2019 oleh .

Semalam kami baru sahaja melaporkan yang mana permainan Vanquish mungkin akan dilancarkan semula sebagai permainan pernambah-baikkan sekitar awal tahun hadapan dan kini, tampaknya ura-ura tersebut mungkin adalah benar kerana Platinum Games juga akan melancarkan permainan Bayonetta secara bersama.

Melalui senarai di kedai atas-talian Microsoft Store, Platinum Games akan melancarkan kedua-dua permainan tersebut secara berkas bersama bersempena dengan ulang tahun ke-10 buat kedua-dua permainan tersebut.

Menariknya, pada 2017 lepas kami juga melaporkan yang mana berkas tersebut juga akan dijual secara fizikal buat konsol Xbox One dan PlayStation 4. Ini meletakkan ura-ura sebelum ini kelihatan menjadi kenyataan memandangkan permainan tersebut sudah pun tersenarai di kedai atas-talian Microsoft Store.

Bagi anda yang tidak mengetahui buat kedua-dua permainan ini, Bayonetta dan Vanquish merupakan permainan beraksi yang dibangunkan oleh Platinum Games yang mana ia dilancarkan di konsol PlayStation 3 dan Xbox 360 pada 2010 lepas.

Bayonetta merupakan siri permainan beraksi yang sangat terkenal di mana sekuel kepada permainan tersebut iaitu Bayonetta 2 dilancarkan secara eksklusif di konsol Wii U dan Switch. Manakala Vanquish pula merupakan permainan yang memfokuskan bentuk penembak pandang ketiga yang sangat pantas yang mana juga mendapat sambutan yang baik di kalangan pemain.

Meskipun begitu, buat masa ini Platinum Games masih belum mengumumkannya secara rasmi namun kami percaya memandangkan permainan tersebut bakal tiba pada 18 Februari 2020 ini, mereka mungkin akan mengumumkannya tidak lama lagi.

Seperti biasa kami pastikan akan mengemaskini informasi lanjut setelah ia diumumkan kelak.


TIPS & ULASAN