Skip to main content

April lepas, Microsoft melancarkan konsol Xbox One S All-Digital yang mana ianya adalah berdasarkan konsol Xbox One S namun ia tidak mempunyai pemacu optik, sekaligus segala permainan hanya boleh dimainkan secara digital sahaja.

Terkini melalui laporan Kotaku, Microsoft mungkin akan melakukan perkara yang sama terhadap konsol Xbox generasi seterusnya oleh mereka iaitu Project Scarlett dengan melancarkannya dengan dua versi berbeza iaitu versi biasa dan juga versi tanpa pemacu optik.

Sebelum ini kami juga melaporkan yang mana kod nama untuk Xbox Seterusnya adalah Anaconda dan Lockhart, di mana kod nama Lockhart tersebut mungkin adalah konsol versi digital sahaja. Semestinya konsol versi digital tanpa pemacu optik ini adalah bertujuan untuk menurunkan kos dan harga buat konsol tersebut.

Berdasarkan laporan, terdapat beberapa pembangun yang menyatakan yang mana konsol Lockhart akan mempunyai prestasi yang lebih rendah di mana ianya hanya akan menyokong resolusi 1440p dengan kadar bingkai sesaat sebanyak 60FPS. Manakala Anaconda akan menyokong resolusi 4k dengan kadar bingkai sesaat sebanyak 60FPS.

Tambahan itu, Microsoft juga mungkin akan mempromosi konsol Lockhart bersama-sama dengan servis penstriman mereka iaitu xCloud dan juga servis langganan permainan Xbox Game Pass.

Meskipun begitu, ini hanyalah satu laporan daripada Kotaku dan Microsoft masih belum mengumumkan sebarang informasi lain secara rasmi. Akan tetapi, apa yang disahkan adalah konsol generasi tersebut akan dilancarkan pada penghujung 2020, buat kedua-dua konsol PlayStation 5 dan Xbox “Project Scarlett”.

Leave a Reply