Campo Santo iaitu pembangun terkenal dengan permainan Firewatch, sebelum ini mengumumkan yang mana mereka akan melancarkan permainan mereka seterusnya iaitu In The Valley Of Gods pada 2017 lepas, tampaknya kini pembangunannya terhenti seketika.
Menurut pengasas Campo Santo iaitu Jake Rodkin, beliau menyatakan pembangunan permainan tersebut terhenti seketika kerana sebahagian pembangun studio tersebut kini sibuk membangunkan permainan lain oleh Valve seperti Half-Life: Alyx yang diumumkan bulan lepas. Beliau juga mengatakan studio mereka juga sibuk membangunkan projek lain oleh Valve termasuklah Dota Underlords dan aplikasi Steam sendiri.
Sekaligus, buat masa ini tarikh pelancaran permainan tersebut sememangnya ditundakan dan menurut Jake Rodkin, mereka tidak mempunyai sebarang tarikh rasmi. Meskipun begitu, ini tidak bermakna permainan ini akan dibatalkan di mana beliau sendiri mengesahkan yang mana mereka pasti akan kembali meneruskan pembangunan permainan tersebut setelah mereka bersedia.
Semestinya ini adalah satu berita yang agak menyedihkan memandangkan saya sendiri sangat menyukai permainan Firewatch dan berharap agar dapat bermain permainan seterusnya oleh mereka dalam masa terdekat ini. Meskipun begitu, sekurang-kurang kini kita mendapat kemaskini terkini buat permainan ini dan kami pasti akan mengemaskini informasi lanjut setelah ia diumumkan kelak.