Permainan Marvel’s Spider-Man yang dilancarkan tahun lepas di konsol PlayStation 4 oleh Insomniac Studios semestinya mendapat sambutan yang sangat baik sekali di kalangan pemain dan pada Ogos lepas, kami juga melaporkan yang mana permainan tersebut telah pun terjual sehingga 13 juta salinan.

Terkini melalui saluran Youtube Kinda Funny, Imran Khan iaitu bekas penulis di Game Informer menyatakan bahawa Marvel’s Spider-Man 2 sememangnya sedang dibangunkan oleh Insomniac Studios dan ianya mungkin dilancarkan dalam masa terdekat, iaitu sekitar penghujung tahun 2021 ini. Menurut Imran Khan lagi, permainan tersebut tidak akan dilancarkan bersama PlayStation 5 dan akan tiba lebih lewat. Namun dari segi eksklusif, kami percaya ianya masih lagi akan tiba di konsol PlayStation sahaja.

Semestinya ini masih lagi satu ura-ura dan Insomniac Studios mahupun Sony masih belum mengumumkan secara rasmi berkenaan kewujudan sekuel buat permainan Marvel’s Spider-Man.

Namun, memandangkan hasil jualan yang sangat baik dan penceritaan yang tergantung, kami percaya Insomniac Studio sememangnya sedang bersiap sedia untuk pelancaran permainan tersebut setelah konsol generasi seterusnya dilancarkan.

Adakah anda sendiri seronok dengan ura-ura ini? Kami di Aksiz pasti akan mengemaskini sebarang berita ataupun pengumumannya setelah ia dikongsikan kelak.

Sohor Kini