Ketika acara persembahan konsert Kingdom Hearts Orchestra: World Of Tres yang berlangsung di Osaka, Jepun hujung minggu lepas, Square-Enix berkongsi sebilangan informasi lanjut berkenaan DLC permainan Kingdom Hearts 3, iaitu Re:Mind.
Antara informasi yang dikongsikan adalah mod foto yang mana semestinya sebelum ini Kingdom Hearts 3 mempunyai mod fotonya tersendiri, namun ia terhad kepada bentuk “Swafoto” sahaja. Menurut Square-Enix, dengan mod foto baharu ini, pemain kini bukan sahaja berupaya untuk mengubah posisi kamera tersebut dengan lebih bebas dan mengubah gaya watak-watak dan objek untuk menghasilkan foto yang lebih meluas.
Selain itu, pemain juga berupaya untuk melakukan tayangan slaid berdasarkan foto-foto yang diambil oleh pemain di mana pemain juga boleh meletakkan suntingan seperti muzik latar dan bingkai gambar untuk dikongsikan secara atas-talian.
Akhir sekali apa yang dikongsikan adalah bentuk kesukaran abharu yang dipanggil Fast Pass dan Black Code di mana melalui Fast Pass, pemain akan diberi tahap kesukaran yang lebih mudah seperti musuh yang lebih lemah. Manakala Black Code pula meletakkan pelbagai bentuk cabaran buat pemain seperti tahap kesukaran yang pemain tidak boleh menggunakan barangan penyembuh dan sebagainya.
Menurut Square-Enix, mereka juga akan kongsikan video acah baharu buat DLC ini menjelang Disember ini. Dari segi tarikh pelancarannya, ianya masih belum diumumkan lagi.
Selain itu, seperti yang yang dilaporkan oleh kami sebelum ini, DLC Re:Mind ini juga akan menyertakan pelbagai adegan baharu dan penceritaan sebalik di dalam permainan tersebut bersama-sama senjata Keyblade yang kembali dari permainan sebelum ini iaitu Oblivion dan Oathkeeper.
Kingdom Hearts 3 merupakan permainan aksi RPG yang dibangunkan oleh Square-Enix dan telah pun dilancarkan awal tahun ini di konsol Playstation 4 dan Xbox One. Square-Enix juga sebelum ini telah melancarkan demo khas buat mereka yang masih belum mencubannya.