Skip to main content

Permainan perlumbaan kart semestinya salah satu genre permainan yang sangat terkenal yang mana sebelum ini pelbagai pembangun telah pun melancarkan permainan kart mereka tersendiri di pelbagai platform. Oleh hal demikian, ianya mungkin agak terhad buat pemain untuk bermain sesama sendiri memandangkan kebanyakan permainan tersebut tidak menyokong fungsi rentas-platform.

Terkini, untuk menyelesaikan masalah tersebut, Ivanovich Games mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan permainan perlumbaan kart mereka sendiri iaitu Touring Karts, di mana permainan ini mempunyai sokongan rentas-platform.

Touring Karts merupakan permainan perlumbaan kart yang memfokuskan bentuk parti, seperti permainan Mario Kart. Melaluinya pemain bukan sahaja berlumba, malah pemain boleh mengambil barangan dan senjata untuk bertempur dengan pemain lain.

Seperti yang dinyatakan di atas, permainan ini akan menyokong rentas-platform yang mana sekaligus pemain di PlayStation 4 akan berupaya untuk bermain dengan pemain yang bermain di platform lain, apabila ianya dilancarkan kelak.

Selain itu, permainan ini juga mempunyai mod realiti-maya melalui Oculus Rift dan juga bagi versi PlayStation 4, ianya boleh dimainkan melalui PlayStation VR. Mod realiti-maya tersebut juga mempunyai beberapa mod pilihan visual seperti mod tanpa mabuk yang mana pasti akan memudahkan pemain.

Touring Karts akan dilancarkan di PlayStation 4 pada 12 Disember 2019 ini dan tarikh pelancaran bagi konsol Switch dan versi permua akan diumumkan kemudian. Permainan ini juga telah pun dilancarkan di PC melalui Steam yang mana anda boleh membelinya dengan harga serendah RM29.25 sempena promosi khas sehingga 4 Disember ini.

Leave a Reply