Xbox Generasi Baharu Tidak Akan Memfokuskan Realiti Maya

Realiti maya adalah mod permainan yang kian mendapat tempat tetapi tidak secepat yang diinginkan oleh Phil Spencer iaitu ketua Xbox. Menurut beliau, realiti maya adalah sesuatu yang kurang diminta oleh pemilik Xbox, oleh disebabkan itu ia bukanlah fokus utama mereka. Sebaliknya ia boleh didapati di platform lain seperti PC.

Selain itu, Spencer juga merasakan yang pengalaman realiti maya agak terpinggir di mana ia tidak boleh dimainkan bersama dengan pemain lain. Mungkin beliau bermaksud yang setiap pemain akan memakai set kepala tersendiri.

Kenyataan beliau tersebut telah menerima pelbagai kritikan termasuk juga oleh Shuhei Yoshida, walaupun bukan secara terus. Beliau mengatakan yang mereka (PlayStation) sering bekerja keras untuk memberikan pemain sesuatu yang tidak diminta oleh mereka. Ramai juga yang mengatakan Xbox tidak sepatutnya terus meninggalkan realiti maya kerana ia masih satu sistem yang sedang berkembang.

Menjawab kritikan tersebut, Phil Spencer mengatakan ia adalah kritikan yang adil dan menegaskan yang beliau menyukai teknologi-teknologi baharu seperti AI, 3D, termasuk juga realiti maya. Beliau juga telah mencuba pelbagai permainan menarik untuk realiti maya. Namun, buat masa ini ia bukanlah fokus bagi Xbox generasi baharu.

Apa pendapat anda? Adakah Xbox mengambil keputusan yang tepat untuk tidak memfokuskan pembangunan realiti maya?

Sohor Kini