Melalui laporan GameIndustry.Biz, penerbit permainan No Straight Roads, Sold Out yang kami kongsikan sebelum ini, kini dimiliki oleh Toadman Interactive dengan pembelian sebanyak £16 juta(~RM85 juta).
Toadman Interactive merupakan syarikat pembangun, penerbit dan pemasaran permainan video yang mana mereka juga sebelum ini melancarkan permainan mereka sendiri di Steam seperti Immortal, Block n Load dan sebagainya.
Menurut laporan, Toadman Interactive akan membuat pembelian dengan sejumlah £12 juta tunai dan baki £4 juta akan dibayar melalui pembelian saham. Selain itu, Toadman Interactive juga menyatakan jika Sold Out menerima pendapatan sebelum cukai melebihi £3.2 juta, mereka akan menambah nilai saham sebanyak £5.2 juta.
Garry Williams iaitu ketua pegawai ekskutif Sold Out menyatakan bahawa dengan menyertai Toadman Interactive, mereka percaya ianya akan membantu mereka dari segi perkembangan dan membuka lebih banyak peluang sebagai penerbit permainan.
Robin Flodin iaitu ketua pegawai ekskutif Toadman Interactive juga menyatakan yang mana mereka pasti akan menerus dan mengembang strategi pemasaran dan penerbitan permainan dengan tibanya Sold Out sebagai sebahagian daripada syarikat mereka.
Semestinya Sold Out merupakan penerbit permainan No Straight Roads, iaitu permainan oleh pembangun tempatan, Metronomik yang mana kini kelihatan permainan tersebut pasti akan terus mendapat sokongan penerbit untuk pelancarannya tahun hadapan.