Skip to main content

CD Projekt minggu ini menganjurkan sesi perjumpaan komuniti di Poland, dan semasa sesi tersebut beberapa soalan mengenai Cyberpunk 2077 di jawab oleh mereka, dan seorang pengguna Reddit yang menghadiri sesi tersebut berkongsi-nya di laman tersebut.

Terdapat banyak maklumat yang dikongsikan akan tetapi berikut adalah 10 yang kami rasakan paling menarik;

  1. Pemain boleh memilih untuk melakukan perkara yang baik ataupun tidak baik di bandar tersebut. Dengan kata lain pemain boleh “burn the city down” seperti yang diperkatakan oleh watak Keanu Reeves di dalam trailer.
  2. Bagi panjang penceritaan, untuk penceritaan utama dan juga beberapa misi sampingan utama ia adalah lebih pendek jika ingin dibandingkan dengan The Witcher 3 akan tetapi ia mempunyai nilai “replaybility” yang lebih tinggi.
  3. Mengenai “end game”, mereka sekadar mengatakan yang Cyberpunk 2077 menyertakan sesuatu yang menarik untuknya tetapi ingin pemain untuk merasai sendiri dan tidak berkongsi lanjut mengenainya buat masa ini.
  4. Terlalu lambat memilih jawapan balas semasa perbualan akan mempunyai kesan tersendiri.
  5. Mengenai rekaan misi sampingan, seperti The Witcher yang setiap misi mempunyai cabang tersendiri, di dalam Cyberpunk 2077 ia lebih dikembangkan lagi, setiap cabang tersebut akan membawa ke cabang yang lain. Bahkan dengan melakukan sesuatu misi sampingan akan membuka kepada misi sampingan yang lain. Kejadian misi sampingan juga mungkin memberi kesan kepada penceritaan utama.
  6. Mengenai tempat tinggal untuk V (watak pemain), pemain tidak boleh pindah ataupun membeli rumah baharu akan tetapi hiasan serta rupa tempat tinggal pemain akan bergantung kepada kejadian di dalam permainan.
  7. Mengenai pemanduan, mereka tidak akan menjadikan ia satu simulasi pemanduan akan tetapi ia sekurang-kurangnya lebih baik jika dibandingkan dengan GTA.
  8. Kitaran siang dan malam akan memberi kesan kepada permainan, contohnya, pada waktu malam sesuatu kawasan mungkin mempunyai pengawal yang lebih kurang berbanding waktu siang.
  9. Cyberpunk 2077 mempunyai adegan yang berbeza dengan kebiasaan, jadi bagi pemain yang gemar untuk melangkau sesuatu adegan ataupun dialog, mereka menyediakan sesuatu yang berlainan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
  10. Pada permulaan pemain boleh memahami beberapa bahasa melalui sistem penterjemahan, penterjemahan untuk bahasa lain perlu dibeli sebagai peningkatan sistem.

Terdapat pelbagai lagi perkara menarik yang dikongsi, anda boleh membacanya di Reddit untuk senarai penuh. Cyberpunk 2077 akan dikeluarkan untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC pada 16 April 2020.

Leave a Reply