Masih ada beberapa bulan lagi sebelum Final Fantasy VII Remake dikeluarkan, namun untuk mengurangkan penantian pemain, Square Enix melalui SIE di PlayStation Blog berkongsi beberapa maklumat lanjut mengenai permainan tersebut.

Perkara pertama yang dikongsi-kan adalah sistem peningkatan tahap untuk senjata. Jika versi sebelum ini, setiap senjata mempunyai keupayaan yang tetap, jadi pemain akan tukar ke senjata yang lebih baik. Manakala untuk versi olahan semula ini, setiap senjata akan mempunyai tahap tersendiri.

Dengan menggunakan sesuatu senjata dengan lebih kerap, pemain dapat meningkatkan tahap senjata tersebut. Ia tampaknya menggunakan sistem peningkatan tahap seperti Final Fantasy XIII.

Apabila keupayaan senjata tersebut mencapai maksimum, keupayaan itu akan terus kekal dengan pemain walaupun sudah menggunakan senjata yang berlainan.

Selain itu, mereka juga berkongsi mengenai mod kesukaran atau mod permainan Classic di mana watak yang dikawal oleh pemain akan melakukan serangan secara automatik dan pemain boleh memfokuskan kepada kawalan memilih “command”.

Ia akan memberi perasaan seperti sistem pertempuran mengikut turutan Final Fantasy VII asal, tetapi dengan kualiti grafik yang lebih mendalam. Pemain juga boleh bertukar ke kawalan terus pada bila-bila masa. Namun, mod ini akan menggunakan tahap kesukaran Easy.

Setiap watak juga akan hadir dengan keupayaan tersendiri di mana ia boleh di aktifkan menggunakan butang tiga segi. Sebagai contoh, Cloud mempunyai keupayaan untuk menukar gaya serangan di antara Operator Mode dan Punisher Mode, di mana Punisher Mode lebih memfokuskan melakukan serangan. Kami boleh katakan sistem ini juga diambil daripada Final Fantasy 13.

Manakala untuk Summon, watak yang sedang menggunakan Summon Materia, dapat memanggil watak tertentu apabila tolok Summon penuh. Watak tersebut akan bertempur bersama pemain, dan pemain juga boleh memilih untuk melakukan serangan tertentu. Apabila watak tersebut berakhir, pemain akan melancarkan serangan khas.

Selain itu, mereka juga berkongsi beberapa tangkapan skrin baharu yang memperlihatkan serangan dan juga aktiviti sampingan. Kami kongsikan beberapa di bawah.

Apa pendapat anda mengenai Final Fantasy VII Remake setakat ini? Adakah ia permainan yang wajib dibeli? Ia akan dilancarkan pada 3 Mac 2020 untuk PlayStation 4.

Sohor Kini