Informasi Permainan Video Terkini
Settlers of Catan Kini Hadir Melalui Permua Realiti Terimbuh

Settlers of Catan Kini Hadir Melalui Permua Realiti Terimbuh

Diterbitkan pada November 22, 2019 oleh .

Settlers of Catan ialah permainan berpapan yang cukup terkenal dikalangan peminat-peminat permainan fizikal. Sebelum ini, kami telah melaporkan bahawa Catan telahpun hadir untuk dua platform permainan berbeza, termasuklah Nintendo Switch dan juga Sony PSVR.

Terkini, Settlers of Catan baru sahaja diumumkan akan hadir di platform permua pula, dan akan dinamakan Catan: World Explorers. Apa yang menarik mengenai permua ini ialah dengan menggunakan teknologi realiti imbuhan (augmented reality), permua ini akan menjadikan seluruh dunia sebagai papan permainan Catan tersebut, yang merupakan konsep yang hampir sama seperti permua seperti Pokemon GO, Harry Potter: Wizards Unite dan Ingress.

Ini bukanlah satu kebetulan, kerana permua ini sedang dibina oleh Niantic, yang terkenal untuk permua-permua realiti imbuhan ini. Ia akan menggunakan Niantic Real World Platform

Melalui permua ini, pemain akan membina bangunan-bangunan di kawasan-kawasan realiti terimbuh, manakala bangunan di dunia nyata akan menjadi tempat untuk mendapatkan bahan-bahan binaan yang diperlukan untuk membina infrastruktur dalam permainan.

Konsep asas permainan Catan, iaitu untuk berdagang dengan pemain-pemain lain dan mengumpul mata permainan masih lagi dikekalkan didalam permainan ini, dan akan dikembangkan dengan ciri-ciri baru sepertimana permua-permua Niantic sebelum ini.

Niantic belum mengesahkan bilakah permua Catan: World Explorers ini akan dilancarkan, tetapi laman web mereka telah dibangunkan, dan pengguna boleh mendaftar minat buat masa ini. Niantic turut mengatakan mereka akan hadir dengan butiran lanjut sekitar tahun 2020 kelak.


TIPS & ULASAN