Monkey King: Hero is Back merupakan permainan yang dibangunkan oleh Hexadrive dan diterbitkan oleh Oasis Games. Ia sudah dilancarkan untuk PlayStation 4 dan juga PC. Ia merupakan permainan yang dihasilkan berdasarkan filem berbahasa Cina berjudul sama yang dikeluarkan pada tahun 2015.
Jika mengikut pengalaman sebelum ini, permainan yang dihasilkan berdasarkan filem ataupun filem yang dihasilkan berdasarkan permainan video tidak akan menjadi satu perkara yang baik, bagaimana pula dengan permainan ini?
Walaupun saya boleh katakan ia mungkin lebih baik jika ingin dibandingkan dengan permainan-permainan lain sepertinya, tetapi Monkey King: Hero is Back adalah permainan yang tidak membawa sebarang perkara yang menakjubkan. Berikut adalah ulasan saya.

Cerita
Oleh disebabkan ia adalah adaptasi daripada filem, penceritaan yang dibawa adalah lebih kurang sama. Sun Wukong merupakan seekor monyet yang berkuasa dan dianggap sebagai raja oleh binatang-binatang yang lain. Namun, beliau perlu melalui kitaran hidup di mana beliau akan mati dan dihidupkan semula.
Bagi menghentikan kitaran tersebut, beliau ingin menjadi lebih berkuasa dan akhirnya berjaya, akan tetapi dengan kuasa ini beliau menjadi angkuh dan cuba untuk melawan tuhan. Serangan beliau berjaya sehinggalah melawan Buddha di mana Sun Wukong dipenjarakan di dalam bongkah ais.
500 tahun kemudian, seorang budak dengan nama Lieur cuba menyelamatkan diri dan juga seorang budak perempuan daripada serangan penjahat, semasa pergaduhan tersebut Sun Wukong dibebaskan. Walaupun sudah bebas, akan tetapi kekuasaan beliau sudah dikunci oleh Buddha, dan beliau diarahkan untuk membantu Lieur bagi menyelamatkan budak itu.
Beliau perlu melawan penjahat yang menculik kanak-kanak jika ingin mendapatkan kembali kuasa. Jadi dengan berat hati beliau melakukannya, maka bermulalah penceritaan permainan ini.
Saya boleh katakan yang apabila pemain sudah melalui pembukaan ini, pemain sudah boleh menjangkakan apa yang berlaku sepanjang permainan ini, walaupun pemain yang tidak pernah mengetahui mengenai kisah Sun Wukong ini.

Oleh disebabkan itu saya merasakan penceritaan yang disertakan tidak membawa pembaharuan, ya benar ia adalah adaptasi filem, akan tetapi jika ingin pemain untuk bermain permainan ini, ia harus mempunyai penceritaan yang lebih baik.
Permainan video juga mempunyai ruang untuk mengembangkan sesuatu watak dengan lebih mendalam tidak seperti filem, akan tetapi ia gagal untuk melakukannya. Tiga watak utama yang hadir di dalam permainan ini iaitu Sun Wukong, Lieur dan juga Pigsy yang pemain akan bertemu kemudian mempunyai perwatakan yang sangat mendatar.
Penceritaan juga menjadi lebih kurang menarik kerana cara ia disampaikan, terdapat tiga cara adegan dilakukan, pertama adegan biasa yang menggunakan animasi , melalui adegan seakan lukisan dan juga melalui perbualan sambil berjalan. Selain menggunakan animasi, dua cara lain sangat tidak menarik menjadikan apa yang cuba disampaikan tidak memberi perasaan yang sepatutnya.
Jika anda ingin bermain permainan ini kerana ingin mengikut penceritaan-nya, saya merasakan anda lebih baik menonton filem yang menjadi sumber untuk permainan ini kerana ia jauh lebih baik.

Bentuk Permainan
Jika anda tidak kisah dengan penceritaan dan lebih berminat mengenai bentuk permainan yang disertakan, malang sekali, kerana bentuk permainan yang disertakan juga tidak menarik. Ia adalah permainan aksi pengembaraan yang memfokuskan pertempuran Sun Wukong.
Pada permulaan seperti penceritaan, anda tidak mempunyai banyak serangan yang boleh dilakukan selain daripada serangan biasa dan serangan kuat. Lebih lama anda bermain, anda akan mula membuka lebih banyak kemahiran. Saya boleh katakan walaupun sudah membuka kesemua kebolehan, pertempuran di dalam permainan ini masih satu perkara yang membosankan.
Ia bukan kerana terlalu mudah, akan tetapi kerana variasi penjahat yang disertakan sangat sedikit. Saya boleh katakan ada lebih kurang 10 penjahat yang berbeza, dan akan berulang menjadikan setiap pertempuran sama dan pada pertengahan permainan ia sudah tidak menarik minat saya.
Selain itu pertempuran juga tidak lancar, pergerakan tersangkut-sangkut yang bagi saya perkara yang tidak harus ada di dalam permainan bergenre ini. Sesetengah kuasa membantu pertempuran anda, dan ada juga kuasa yang sekadar pergerakan automatik di mana anda sekadar memilih untuk menggunakan kuasa tersebut, dan hanya mengawal arah serangan, ia tidak memberi perasaan yang epik semasa berlawan.

Bagi pengembaraan pula, ia adalah terhad dan anda akan mengembara untuk mencari collectible dan juga bahan untuk digunakan bagi menghasilkan ubat-ubatan. Setiap kawasan dihasilkan pelbagai laluan sampingan akan tetapi ia tidak akan mengambil masa yang lama untuk anda pergi ke setiap sudut. Ada motivasi untuk anda mengembara? Ya dan tidak, ya kerana anda ingin ubat-ubatan tetapi tidak jika anda tidak sangat memerlukannya.
Permainan ini juga boleh dihabiskan dengan cepat, saya mengambil lebih kurang 10 jam untuk menghabiskannya, itu pun kerana saya mengambil masa yang lama di sesetengah tempat untuk sekadar mencari perkara yang tersembunyi boleh dilakukan. Jika anda sekadar memfokuskan kepada penceritaan, saya merasakan ia boleh dihabiskan kurang pada 10 jam.
Saya tidak mempunyai masalah dengan permainan singkat, akan tetapi pengisian yang disertakan di dalam permainan ini menjadikan ia lebih terasa dan sukar untuk saya mengesyorkan permainan ini kerana bentuk permainan yang disertakan.

Grafik
Satu perkara yang positif mengenai permainan ini adalah rekaan grafik terutama rekaan watak adalah menarik termasuk juga persekitaran walaupun ada masa ia terasa seperti ulangan rekaan yang sama.
Rekaan watak Sun Wukong, Lieur dan Pigsy adalah sangat unik, termasuk juga watak penjahat akan tetapi kerana jumlah penjahat yang sedikit dan sering berulang, keunikan tersebut tidak sangat dapat dihargai.
Manakala untuk kelancaran pula, saya bermain di PS4 Pro dan ia mempunyai kelancaran yang baik walaupun terasa tidak lancar kerana cara pertempuran yang disertakan. Namun, saya ada menemui beberapa masalah, semasa bermain termasuk juga yang memerlukan untuk saya menutup dan membuka kembali.

Ia juga mempunyai skrin pemuatan yang terlalu kerap tanpa sebarang sebab yang jelas. Jika memasuki kawasan yang baharu, mungkin skrin pemuatan diperlukan akan tetapi apabila memasuki rumah untuk menuju ke kawasan yang baharu juga memerlukan skrin pemuatan, ia serba sedikit mengganggu pengalaman bermain.
Secara keseluruhannya, permainan ini mempunyai rekaan grafik yang unik akan tetapi masih terasa ketinggalan untuk permainan yang dikeluarkan di PlayStation 4 dan juga PC.
Audio
Lakonan suara untuk permainan ini saya boleh katakan yang ia dilakukan dengan baik akan tetapi kerana penulisan dialog serta per-ulangan membuatkan ia sedikit membosankan. Ini ditambah lagi dengan apabila anda menjumpai penjahat, Lieur dan Pigsy akan menjerit “monster, monster” berulang-ulang kali. Pada awalnya ia adalah satu jenaka tetapi selepas itu ia hanya menjengkelkan.
Satu lagi perkara yang menjengkelkan adalah muzik latar. Ia menyertakan muzik yang menarik, dan boleh katakan muzik tradisi, tetapi kerana ia terlalu berulang saya lebih suka jika bermain tanpa sebarang muzik di belakang. Kesan bunyi lain dilakukan dengan mencukupi, tetapi tidak dapat membantu kekurangan yang hadir melalui lakonan suara dan juga muzik latar.
Rumusan
Akhir kata, Monkey King: Hero is Back adalah permainan yang munking terlambat untuk dikeluarkan, ia merupakan permainan yang mengadaptasi filem yang dikeluarkan pada 4 tahun lepas. Ia juga permainan yang mempunyai kualiti grafik seakan konsol generasi yang lepas.
Ini ditambah lagi dengan penceritaan serta bentuk permainan yang kurang menarik menjadikan agak sukar untuk saya mengesyorkan permainan ini. Anda boleh mendapatkan banyak lagi permainan lain yang memiliki genre yang sama tetapi menawarkan sesuatu yang lebih menarik.
Jika anda ingin mengikut penceritaan Monkey King ini, saya lebih mengesyorkan anda menonton filemnya. Permainan ini mungkin anda boleh cuba jika di ditawarkan dengan harga jauh lebih murah ataupun diberi secara percuma melalui PS Plus.
