Skip to main content

Street Fighter V dilancarkan secara rasmi pada 2016 yang mana ianya adalah permainan perlawanan berdasarkan siri Street Fighter oleh Capcom. Permainan tersebut sememangnya mendapat sambutan yang baik di kalangan pemain dan Capcom sering mengemaskini dengan pelbagai kandungan seperti watak DLC baharu, kostum-kostum menarik dan juga pernaik-tarafan bentuk permainan.

2018 lepas, mereka melancarkan Street Fighter V: Arcade Edition yang mana ianya adalah edisi “lengkap” buat permainan tersebut menyertakan watak DLC untuk dua musim permainan.

Terkini, Capcom meneruskan sekali lagi edisi “lengkap” mereka dengan Street Fighter V: Champion Edition yang mana ianya dilancarkan secara rasmi menjelang 14 Februari 2020 di PlayStation 4 dan PC. Menariknya, buat pemilik Street Fighter V: Arcade Edition, mereka juga akan melancarkan ‘kit’ naik-taraf kepada edisi Champion Edition menjelang tarikh pelancaran permainan ini.

Street Fighter V: Champion Edition merupakan edisi lengkap buat permainan Street Fighter V yang mana ianya akan menyertakan kesemua kandungan daripada Street Fighter V: Arcade Edition, sekaligus ianya menyertakan 40 watak termasuk watak DLC sebelum ini, bersama-sama dengan 34 lokasi permainan dan lebih dari 200 kostum buat watak-watak tersebut.

Menariknya juga, bersempena dengan pengumuman ini, mereka juga umum watak DLC seterusnya yang mana juga akan disertakan secara bersama dengan edisi permainan iaitu Gill. Menurut Capcom, watak Gill akan dilancarkan pada Disember ini bersama-sama dengan satu lagi watak DLC yang masih belum diumumkan.

Tambahan itu, bersempena dengan musim percutian Krismas yang bakal hadir tidak lama lagi, Capcom juga mengumumkan pelbagai kostum baharu bertemakan perayaan Krismas bakal dilancarkan menjelang lewat hari ini bersama-sama dengan acara khas bersama Monster Hunter di mana bermula 22 November sehingga 20 Disember, pemain boleh dapatkan kostum Nergigante buat watak Blanka.

Bagi anda yang meminati permainan Street Fighter V, pastikan anda mendapatkannya menjelang Februari kelak.

Leave a Reply