Obsidian Entertainment baru sahaja melancarkan permainan mereka bulan lepas iaitu The Outer World yang mana ianya adalah salah satu permainan RPG dunia terbuka yang mendapat sambutan yang baik di kalangan pemain.

Terkini, ketika acara X019, mereka juga mengumumkan bahawa mereka kini sedang membangun permainan baharu iaitu Grounded, di mana ianya adalah permainan penembak pandang pertama dengan elemen pertahanan hidup.

Buat masa ini, permainan ini disahkan akan dilancarkan sekitar suku kedua tahun hadapan di konsol Xbox One dan PC. Microsoft juga mengesahkan bahawa permainan ini akan dilancarkan di Xbox Game Pass, Microsoft Store dan juga di Steam.

Berdasarkan video acah yang diperlihatkan di atas, Grounded merupakan permainan multi-pemain dengan bentuk penembak pandangan pertama di mana ianya juga mempunyai elemen-elemen pertahanan hidup. Sedikit sebanyak, ianya mengingatkan kami akan permainan koperasi pertahanan hidup seperti Rust ataupun Sea Of Thieves yang mana ianya juga memfokuskan bentuk kerjasama antara pemain dan keupayaan untuk membina bangunan.

Namun apa yang menariknya adalah dunia permainan ini di mana pemain akan bermain dengan kanak-kanak yang menjadi kecil, dan pemain sekaligus akan bertempur dengan serangga yang bersaiz lebih besar dari pemain. Selain itu, video acah tersebut juga memperlihatkan pelbagai senjata dan kelengkapan yang pemain boleh gunakan.

Menurut Mikey Dowling iaitu pengarah komunikasi dari Obisidian Entertainment, permainan ini adalah permainan yang dihasilkan oleh pasukan kecil dari studio tersebut yang mana ianya adalah satu permainan baharu yang ingin mereka cuba bangunkan. Mereka juga menyatakan bahawa Microsoft memberi kebebasan kreatif buat mereka untuk menghasilkan permainan ini sekaligus membuatkan mereka ingin mencuba sesuatu yang baharu.

Seperti biasa, kami akan mengemaskini informasi lanjut setelah ia diumumkan secara rasmi kelak.

Sohor Kini