GigaBash – Permainan Brawler Tempatan Yang Berpotensi

Bersempena acara Level Up KL yang berlangsung pada minggu lepas, MDEC turut sekali lagi menganjurkan acara anugerah SEA Game Awards 2019, di mana anda boleh membaca senarai penuh pemenang melalui laporan kami sebelum ini.

Di anugerah tersebut, satu permainan yang memenangi 4 anugerah, termasuk juga pilihan juri dan penonton adalah GigaBash yang dibangunkan oleh Passion Republic iaitu pembangun permainan video tempatan.

Ketika Level Up KL Play lepas, saya berkesempatan untuk mencuba GigaBash dan bagi saya, berdasarkan pengalaman sekejap saya bermain, saya boleh nampak mengapa permainan tersebut mendapat pelbagai anugerah.

GigaBash – Brawler Raksasa

Sebelum saya menerangkan apa yang saya suka mengenai permainan ini, bagi anda yang tidak mengetahui mengenai GigaBash berikut adalah sedikit pengenalan untuknya.

Ia merupakan permainan pertempuran brawler 4 pemain, di mana setiap watak adalah raksasa ataupun robot gergasi. Pemain perlu bertempur untuk mencari satu pemenang, dan setiap watak mempunyai serangan tersendiri serta dapat menggunkan bangunan-bangunan sebagai senjata tambahan.

Semasa percubaan, ia hanya boleh dimainkan secara multi-pemain setempat, akan tetapi berkemungkinan besar turut boleh dimainkan secara dalam talian apabila ia dikeluarkan kelak.

Permainan Yang Berpotensi

Perkara pertama yang menarik minat saya mengenai permainan ini adalah rekaan watak yang hadir. Demo permainan yang diperlihatkan di Level Up KL hanya mempunyai 4 watak sahaja tetapi keempat-empat watak tersebut nampak sangat unik dan berlainan. Ia sudah semestinya akan hadir dengan lebih banyak watak yang akan menjadikan permainan ini lebih pelbagai.

Sistem pertempuran yang disertakan adalah perkara seterusnya yang bagi saya dilakukan dengan baik. Ia menggunakan sistem kawalan yang ringkas, anda mempunyai 2 butang serangan tetapi setiap-nya mempunyai 2 serangan berbeza. Ia ditambah lagi serangan dapat di-gabung dengan gerakan mengelak ataupun bertahan.

Kebolehan untuk memecahkan bangunan, serta ‘membunuh’ manusia yang bergelimpangan memberi perasaan seakan anda mengawal Godzila, yang merupakan tema untuk permainan ini juga menjadikan ia lebih menyeronokkan.

Setiap watak mempunyai serangan yang berbeza, saya berkesempatan mencuba sekejap untuk setiap 4 watak yang ada, dan saya boleh katakan setiap-nya memberi perasaan yang berbeza. Ia juga akan memerlukan strategi pertempuran yang berlainan mengikut watak-watak tersebut. Namun, saya semasa saya mencubanya, saya boleh katakan ada sesetengah watak yang lebih mudah untuk dikawal menjadikan ia lebih kuat berbanding watak lain. Keseimbangan mungkin akan dipertingkatkan lagi sepanjang pembangunan permainan ini.

Bercakap mengenai keseimbangan, satu perkara yang menarik tetapi juga yang menjadi kurang menyeronokkan adalah sistem S-Class. Setiap serangan yang dilakukan anda akan mendapat Giga Points, dan apabila ia mencukupi anda boleh bertukar menjadi S-Class iaitu menjadi lebih besar dan berkuasa.

Ia menarik apabila anda berjaya menjadi S-Class, akan tetapi ia kurang menyeronokkan untuk pemain-pemain lain. Ini disebabkan pemain yang masih tidak mencukupi untuk menjadi S-Class tidak mempunyai banyak ruangan untuk melawan pemain yang sudah menjadi S-Class, ia mungkin akan menjadi perkara yang menjengkelkan.

Walaupun S-Class sepatunya menjadi “ultimate” move, akan tetapi saya berpendapat pemain lain harus mempunyai cara yang lain untuk mengelak ataupun bertahan. Ia mungkin ada tetapi saya tidak dapat mencarinya kerana masa yang singkat bermain, tetapi buat masa ini S-Class terlalu berkuasa.

Gabungan rekaan watak dan juga bentuk pertempuran membuatkan saya sangat menantikan permainan ini dan berpendapat ia mempunyai potensi yang besar untuk menjadi permainan yang baik. Buat masa ini, Passion Republic tidak mengumumkan tarikh ia akan dikeluarkan akan menjangkakan pada suku terakhir 2020 dan dibangunkan untuk PlayStation 4, Xbox One, Switch dan PC.

Sohor Kini