Apple TV+ mula ditawarkan kepada pengguna global minggu lalu dengan See, Dickinson, For All Mankind dan The Morning Show menjadi empat sisir utama yang boleh ditonton. Walaupun musim pertama masih belum habis ditayangkan (kerana hanya satu episod baharu diterbitkan seminggu), pihak Apple TV+ telah mengumumkan kesemua siri ini akan menerima musim kedua.
Apple tidak berkongsi berapakah jumlah pelanggan perkhidmatan penstriman mereka pada waktu ini. Mereka sekadar berkata kesemua siri yang diterbitkan ditonton jutaan pengguna pada minggu pertama. Pada waktu yang sama majoriti pengguna Apple TV+ menonton sekurang-kurangnya dua episod siri yang ditawarkan.
Di Malaysia Apple TV+ ditawarkan pada harga RM19.90 sebulan dengan penawarkan langganan setahun percuma kepada pemilik peranti Apple baharu. Sungguhpun kebanyakan ulasan awal mengatakan kandungan siri Apple TV+ adalah mengecewakan, kami secara peribadi merasakan kesemuanya menarik untuk ditonton walaupun sedikit generik.