Kita semakin menghampiri pengakhiran tahun 2019, namun, permainan masih dikeluarkan untuk meneruskan bulan yang sibuk bagi pemain permainan video, termasuk juga bulan ini.
Walaupun ada banyak permainan video menarik yang dikeluarkan pada bulan ini, berikut adalah 5 permainan menarik pilihan kami;
Death Stranding
Ulasan untuk permainan seterusnya oleh Hideo Kojima ini sudah dikeluarkan dan kami boleh katakan ia menerima ulasan yang positif termasuk juga oleh kami sendiri. Death Stranding boleh dikatakan permainan yang paling dinanti-nantikan untuk bulan ini, bahkan untuk tahun ini. Selepas menantikan lebih 3 tahun, Death Stranding akan dikeluarkan pada 8 November 2019 untuk PlayStation 4, manakala untuk PC ia akan tiba sekitar tahun hadapan.
Pokémon Sword & Shield
Permainan utama Pokémon pertama untuk konsol Switch sudah semestinya satu permainan yang dinanti-nantikan oleh pengikut siri ini. Walaupun sudah menerima Pokémon Let’s Go pada tahun lepas, tetapi ini merupakan permainan yang lebih diinginkan. Terutama kerana ia menyertakan sejumlah Pokémon baharu, kawasan baharu dan pelbagai mekanik berlainan. Walaupun sudah tidak mempunyai National Dex tetapi ia mungkin satu kekurangan yang kecil sahaja. Pokémon Sword & Shield akan dikeluarkan pada 15 November 2019 untuk Nintendo Switch.
Star Wars Jedi: Fallen Order
Sebagai permainan yang menjadi harapan kepada EA untuk membawa satu yang baik bagi IP Star Wars, Star Wars Jedi: Fallen Order sudah semestinya satu permainan yang menjadi taruhan untuk EA dan juga yang dinantikan oleh pemain yang inginkan permainan yang baik berdasarkan IP popular ini. Dibangunkan oleh Respawn Entertainment, iaitu studio yang masih disukai oleh pemain melalui permainan Titanfall dan Apex Legends, ia akan dikeluarkan pada 15 November 2019 untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC.
Need for Speed: Heat
Satu lagi permainan oleh EA, yang juga daripada satu IP yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Need for Speed: Heat dikatakan ingin membawa kembali bentuk permainan yang menjadi kegemaran pemain NFS suatu ketika dahulu dan digabungkan dengan bentuk permainan terkini, ini adalah satu usaha EA untuk mengembalikan kegemilangan IP ini. Dibangunkan oleh Ghost Games, ia akan dikeluarkan pada 8 November 2019 untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC.
Football Manager 2020
Selepas Sports Interactive berpisah dengan Eidos di mana mereka meninggalkan permainan Championship manager untuk mengeluarkan Football Manager, ia terus menjadi permainan simulasi pengurusan bola sepak utama dan sehingga sekarang masih tiada yang dapat menandingi bukan sahaja populariti tetapi juga bentuk permainan yang ‘realistik’. Keluaran terbaru untuk Football Manager untuk tahun ini, iaitu Football Manager 2020 menjanjikan enjin perlawanan yang lebih baik dan juga memfokuskan pembangunan pemain muda. Bagi ramai pemain, termasuk kami, ia adalah permainan yang sering memakan ratus jam masa bermain. Ia akan dikeluarkan pada 19 November 2019 untuk iOS, Android dan iOS.
Kami boleh katakan permainan menarik bulan ini adalah daripada pelbagai genre yang akan menarik minat pemain-pemain yang berlainan. Bagi kebanyakan pemain, sebulan hanya satu atau dua permainan sahaja yang boleh didapati, bagi anda permainan mana yang menarik minat anda?
Untuk senarai permainan lain yang akan dikeluarkan pada bulan ini, anda boleh rujuk jadual yang kami sertakan di bawah.
