Kita masih mempunyai masa yang agak lama sebelum permainan Marvel’s Avengers oleh Crystal Dynamics dan Square Enix dikeluarkan akan tetapi sebarang maklumat untuknya adalah satu perkara yang sentiasa dinantikan oleh peminat siri Marvel dan juga yang menantikan permainan ini.

Hari ini, SIE melalui penulisan di blog PlayStation berkongsi dengan lebih lanjut mengenai permainan tersebut.

Penceritaan

Seperti yang dikongsi sebelum-sebelum ini, selepas satu serangan penjahat, semasa pasukan Avengers cuba menyelamatkan New York, mereka diperangkap dan dikatakan sebagai punca untuk kemusnahan dan kematian di bandar tersebut.

Di dalam video baharu yang dikongsi, kerajaan telah mengharamkan Avengers dan untuk menjaga bandar, mereka telah menghasilkan tentera robot. Menurut video tersebut lagi, konspirasi untuk menjatuhkan Avengers adalah lebih mendalam.

Di mana ia melibatkan satu organisasi yang digelar sebagai AIM iaitu Advanced Idea Mecahnics di mana mereka kononnya ingin berharap kepada sains berbanding keupayaan adiwira.

Kamala Khan ataupun Ms. Marvel, iaitu watak yang baru sahaja disahkan sebagai sebahagian daripada watak yang boleh digunakan mempunyai misi untuk membuktikan yang pasukan Avengers tidak bersalah dan cuba menyiasat apa yang sebenarnya berlaku menggunakan kebolehan yang beliau miliki.

Hero Mission dan Warzone Mission

Seperti yang kami laporkan sebelum ini, Marvel’s Avengers akan menyertakan dua jenis misi, iaitu Hero Mission yang akan mengerakkan penceritaan dan misi sampingan yang digelar sebagai Warzone Mission.

Kami juga laporkan sebelum ini yang Hero Mission merupakan misi yang hanya boleh dimainkan secara solo. Manakala Warzone Mission boleh dimainkan secara solo dan juga multi-pemain. Kedua-dua misi tersebut juga boleh dimainkan secara luar talian. Internet hanya diperlukan untuk bermain secara multi-pemain.

Kesukaran sesuatu misi akan bergantung kepada pilihan pemain untuk bermain secara solo ataupun secara multi-pemain.

Pemain juga boleh terus bermain misi sampingan, selepas menghabiskan misi pertama untuk Hero Mission. Namun, mereka mengatakan ia mungkin akan mengandungi beberan untuk misi utama.

Satu lagi perkara yang ditekankan oleh Crystal Dynamics adalah pemain boleh bermain Hero Mission dan Warzone Mission secara bergilir, dan kemajuan pemain akan terus dibawa untuk setiap mod.

Adiwira Anda, Pilihan Anda

Pemain boleh meningkatkan tahap untuk setiap ahli Avengers, menariknya pemain juga boleh mengubah keupayaan setiap adiwira mengikut kehendak pemain. Sebagai contoh, pemain boleh menjadikan Thor sebagai adiwira yang banyak melakukan serangan jarak jauh dan secara AOE, ataupun menjadikan beliau adiriwa yang memfokuskan serangan dekat.

Pemain boleh melakukannya melalui pilihan kebolehan dan juga peralatan. Setiap peralatan mempunyai kelebihan tertentu termasuk juga Perk yang akan memberikan kebolehan tertentu.

Setiap peralatan juga mempunyai jenama tersendiri, contohnya oleh Stark Industries, dan jika pemain menggunakan peralatan dari satu jenama sahaja mungkin akan disertakan dengan kelebihan yang unik. Ia juga mempunyai tahap keistimewaan seperti common, uncommon, epic, rare dan legendary.

Buat masa ini tidak disahkan lagi bagaimana pemain akan mendapat peralatan tersebut, tetapi berkemungkinan besar ia adalah seperti permainan looter shooter di mana selepas menyelesaikan misi pemain akan berpeluang untuk mendapat peralatan secara rawak.

Peralatan ini akan mengubah keupayaan adiwira anda tetapi tidak akan mengubah pemakaian, dengan kata lain ia tidak akan diperlihatkan secara fizikal. Sebaliknya untuk perkara tersebut, Crystal Dynamics menyediakan pelbagai kostum berdasarkan rekaan watak-watak dari komik dan juga rekaan khas untuk permainan ini. Kostum tersebut tidak mempunyai sebarang kelebihan, sebaliknya sekadar kosmetik sahaja.

Selain watak-watak yang sudah diumumkan buat masa ini seperti Thor, Iron Man, Hulk, Black Widow, Captain America dan Ms Marvel. Selain itu ada juga diperlihatkan Ant-man dan Hawkeye tetapi tidak disahkan lagi buat masa ini.

Namun, menurut Crystal Dynamics, watak-watak yang akan dikeluarkan selepas permainan tersebut sudah dikeluarkan akan diberikan sebagai kemaskini percuma.

Di dalam permainan ini, Avengers juga akan mempunyai kem sendiri di mana pemain boleh menaik-taraf dari semasa ke semasa, namun buat masa ini tiada pengesahan apa yang disediakan melalui kem tersebut.


Berdasarkan apa yang diperlihatkan setakat ini, kami boleh katakan permainan ini nampak makin menarik, terutama ia tetap memberi fokus kepada bermain secara solo dan pada masa sama memberi pilihan kepada pemain untuk bermain secara multi-pemain.

Marvel’s Avengers akan dikeluarkan pada 15 Mei 2020 untuk PlayStation 4, Xbox One, PC dan jugat Stadia.

Sohor Kini