Sebelum ini, kami melaporkan yang mana Microsoft melancarkan servis langganan khas buat konsol Xbox One mereka iaitu Xbox All Access yang mana pelanggan bukan sahaja akan mendapat konsol dengan harga langganan bulanan, malah servis langgan digital termasuk Xbox Game Pass dan Xbox Live Gold.

Terkini, Microsoft mengumumkan yang mana servis langganan tersebut kini kembali yang mana ianya kini dibuka buat pelanggan Di Amerika Syarikat, United Kingdom dan juga di Australia. Menariknya juga, langganan tersebut juga boleh dinaik-taraf kepada konsol Xbox generasi seterusnya iaitu Xbox Scarlett yang bakal dilancarkan November 2020 kelak.

Seperti yang dilaporkan oleh kami sebelum ini, langganan ini adalah selama 24 bulan yang mana ianya berharga hanya $19.99(~RM84) sebulan dan melaluinya pemain berupaya untuk memilih sama ada untuk mendapatkan beberapa versi Xbox One, termasuklah Xbox One S, Xbox One X dan juga Xbox One S All-Digital Edition. Langganan tersebut juga akan menyertakan Xbox Game Pass Ultimate, iaitu langganan Xbox Game Pass dan Xbox Live Gold secara bersama untuk sepanjang 24 bulan tersebut.

Menurut Microsoft, langganan ini akan bermula 28 Oktober ini di Australia, manakala di UK ianya akan bermula 5 November dan 18 November di Amerika Syarikat mengikut pengedar rasmi Microsoft.

Seperti yang kami kongsikan di atas, pelanggan juga berpeluang untuk menaik-taraf langganan mereka ke konsol Xbox Scarlett apabila ianya dilancarkan kelak. Namun, ianya adalah terhad buat pelanggan yang melanggan sebelum 31 Disember 2019 sahaja dan beberapa syarat lain yang anda boleh baca di laman rasmi Xbox.

Semestinya, langganan ini tidak ditawarkan buat pasaran Malaysia seperti langganan sebelum ini. Namun tawaran ini semestinya satu tawaran yang sangat menarik dan memandangkan ianya boleh dinaik-tarafkan kepada konsol Xbox Scarlett, Microsoft mungkin akan meneruskan servis langganan sebegini untuk konsol seterusnya oleh mereka dan pasti menjadi satu “servis” langganan yang menarik menjelang tahun hadapan.

Sohor Kini