Selepas dua musim siri TV animasi Ejen Ali, Wau Animations kini hadir dengan versi filem pula – Ejen Ali The Movie. Filem ini akan ditayangkan pada 28 November, tidak lama lagi. Dalam filem ini, Ali dilihat sudah tidak diendahkan oleh M.A.T.A kerana sudah ramai Ejen yang kini memiliki gajet I.R.I.S dan boleh menjadi Ejen yang hebat. Jadi, Ali terasa dipinggirkan dan sudah tidak istimewa. Di samping itu, terdapat juga konspirasi terhadap Datuk Bandar Cyberaya.

Bersempena dengan filem ini, Wau Animations dan Primeworks Studio telah bekerjasama dengan TNB, Mydin dan PediaSure untuk mengadakan acara khas dan juga melancarkan barangan eksklusif. Kerjasama dengan TNB adalah acara Misi: Overload – yang mana mengajar kanak-kanak mengenai mengurangkan penggunaan kuasa dan menjimatkan tenaga. Dalam acara ini, kanak-kanak akan selami situasi seakan ibu pejabat M.A.T.A dan mempelajari 20 tip utama mengenai penjimatan kuasa oleh TNB. Acara ini akan diadakan di Orange Atrium, Sunway Pyramid pada 10 – 15 Disember 2019.

Dengan Mydin pula, Wau Animation mengadakan acara Misi: Kembali Ke Sekolah. ‘Misi’ adalah mengadakan jerayawara untuk bertemu dengan ‘Ejen-Ejen’ dan maskot. Misi ini akan diadakan bermula dari Disember 2019 sehingga Januari 2020 di 20 cawangan Mydin seluruh Malaysia. Selain itu, misi Mydin ini turut bekerjasama dengan sabun mandi Carrie BacBuster.

Sabun mandi ini turut boleh dibeli di Mydin bersama-sama dengan baju sekolah, stoking, beg dan kotak pensel. Terdapat juga kasut sekolah berwarna hitam dan selipar bertemakan Ejen Ali boleh didapatkan di Bata. Di Mydin juga, anda boleh dapatkan barangan eksklusif lain seperti skuter, permainan berpapan, permainan kad, walkie-talkie dan banyak lagi.

Sohor Kini