Kemaskini: Neil Druckmann iaitu pengarah untuk The Last of Us Part II akhirnya mengesahkan yang permainan tersebut tertunda ke 29 Mei 2020, beliau mengatakan, apabila permainan tersebut hampir disiapkan mereka mula sedar yang mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk memastikan setiap bahagian permainan berada pada kualiti yang memuaskan.
Berbanding mengeluarkan permainan yang tidak sempurna, mereka mengambil keputusan untuk memberi lebih masa kepada pembangunan, ia bukan sahaja memastikan permainan dilancarkan dengan kualiti yang baik tetapi pada masa sama mengurangkan tekanan masa kepada pembangun.
Berita asal: Sebelum ini kami melaporkan yang mana The Last Of Us Part II akan dilancarkan Februari hadapan dan Sony juga memperlihatkan sebilangan edisi permainan yang bakal tiba bersama.
Terkini, melalui laporan Kotaku, permainan tersebut mungkin akan ditundakan sehingga suku kedua tahun hadapan, iaitu sekitar bulan Mac sehingga Jun kelak.
Buat masa ini, laporan ini masih lagi belum diumumkan secara rasmi dan menurut Jason Schreier, beliau mendapat informasi tersebut daripada beberapa pembangun dari Naughty Dog sendiri. Namun, beliau juga menyatakan bahawa pengumuman rasmi mungkin akan diumumkan minggu ini.
Seperti anda sedia maklum, The Last Of Us Part II adalah kesinambungan buat permainan The Last Of Us yang dilancarkan 2013 lepas dan kini permainan versi pernambah-baikkan buatnya tiba sebagai permainan percuma buat pelanggan Playstation Plus bagi bulan Oktober.
Seperti biasa, akan kami kongsikan sebarang informasi lanjut setelah ianya disahkan secara rasmi.