Informasi Permainan Video Terkini
Suda51 Dan Swery65 Umum Permainan Seram Baharu, Hotel Barcelona
PC

Suda51 Dan Swery65 Umum Permainan Seram Baharu, Hotel Barcelona

Diterbitkan pada Okt 23, 2019 oleh .

Kemaskini: Devolver Digital menyatakan penerbitan permainan tersebut masih lagi di dalam perbincangan.

Hari ini melalui acara penstriman langsung khas oleh IGN Jepun, Suda Goichi (Lebih dikenali Suda51) dan Hidetaka Suehiro (Lebih dikenali Swery65) mengumumkan yang mana mereka kini sedang membangunkan permainan seram, bernama Hotel Barcelona.

Menurut Suda51, permainan tersebut akan bertemakan seram pada permulaannya dan mempunyai elemen permainan yang ringkas dan sesuai untuk dimainkan secara mudah alih seperti di peranti telefon pintar, Switch ataupun Stadia.

Dari segi penceritaannya, Suda51 dan Swery65 juga menyatakan yang mana pemain mungkin akan bermain sebagai watak penjahat dan juga akan menyertakan sebilangan bentuk penceritaan garis masa berbeza yang pemain perlu satukan.

Mereka juga mengesahkan bahawa Devolver Digital akan menerbitkan permainan tersebut dengan jumlah bajet pembangunan sebanyak $1 juta.

Selain itu, ketika penstriman langsung tersebut, Suda51 dan Swery65 juga menyatakan yang mana pencipta Silent Hill dan Siren iaitu Keiichiro Toyama juga akan terlibat dengan pembangunan permainan tersebut.

Buat masa ini, permainan tersebut masih lagi di dalam proses awal pembangunan dan sebarang informasi lanjut termasuklah visual rasmi permainan tersebut masih belum dikongsikan.

Bagi anda yang tidak mengetahui berkenaan kedua-dua pembangun ini, Suda51 merupakan pengarah untuk siri permainan No More Heroes dan beliau terkenal dengan permainan bergenre ganas. Manakala Swery65 pula terkenal dengan siri Deadly Premonition dan beliau juga sebelum ini baru sahaj melancarkan permainan The Missing yang kami ulaskan sebelum ini.


TIPS & ULASAN