Watak-watak adiwira yang berada di layar perak, majoritinya adalah inspirasi atau terus diambil dari komik. Contohnya; MCU, DCEU, Umbrella Company dan banyak lagi. Terkini, komik ‘Bloodshot’ pula diadaptasi dari Valiant Comics ke panggung wayang. Apa yang menarik dengan watak ini adalah, ia seakan Deadpool – tetapi kelihatan lebih serius.
Pelakon yang memainkan watak Bloodshot adalah Vin Diesel, yang sedia terkenal dengan filem Fast & Furious. Ini bukanlah kali pertama Vin Diesel berlakon sebagai adiwira, sebelum ini beliau adalah Groot dalam Guardians of the Galaxy, Kaulder dalam The Last Witch Hunter dan juga Richard B. Riddick dalam francais filem Riddick. Kenapa saya katakan Bloodshot adalah mirip Deadpool? Ini kerana watak Vin Diesel, iaitu Ray Garrison telah mati dan dijadikan mangsa eksperimen oleh satu organisasi. Dalam eksperimen ini, Ray telah dihidupkan kembali dan menjadi Bloodshot. Ini kerana, beliau telah disuntik degan pelbagai nanites dan mampu menyembuhkan diri sendiri melalui nanites yang diprogramkan terus dari dalam darah beliau.
Lebih kurang Deadpool bukan? Jadi bahan eksperimen, memiliki kuasa boleh pulih sendiri dan ingin balas dendam. Cuma, Bloodhsot ini telah dipadam memori sebenar beliau. Jadi, disebabkan memori beliau kerap dipadam dan ada memori terlintas mengenai “Ray Garrison” – beliau menjadi ingin tahu siapakah Ray dan apa yang sebenarnya berlaku pada diri beliau? Filem ini akan ditayangkan pada 21 Februari 2020.