Informasi Permainan Video Terkini
5 Panduan Sebelum Anda Mula Bermain Death Stranding

5 Panduan Sebelum Anda Mula Bermain Death Stranding

Diterbitkan pada November 8, 2019 oleh .

Dengan lancarnya permainan Death Stranding hari ini, semestinya anda sendiri tidak sabar untuk menjelajah dunia permainan seterusnya oleh Hideo Kojima dan terokai segala apa yang tersedia di dalam permainan ini.

Namun sebelum anda berbuat demikian, kami di Aksiz hari ini ingin berkongsi 5 panduan yang anda perlu tahu sebelum bermain Death Stranding. Semestinya panduan ini bukan sahaja akan memudahkan anda untuk menerokai dunia Death Stranding, namun kami jamin ianya akan memberi pengalaman permainan yang lebih menarik untuk anda terokai karya agung Hideo Kojima ini.

Bermain Secara Atas-Talian

Seperti yang terdapat di dalam ulasan penuh Death Stranding oleh kami sebelum ini, permainan ini sememangnya boleh dimainkan secara luar-talian tanpa sebarang masalah. Namun begitu, jika anda berbuat demikian anda tidak berupaya untuk mengakses sistem “Social Strand System” di mana ianya memerlukan anda untuk sentiasa berada di atas talian.

Secara asasnya, sistem tersebut akan membenarkan pemain untuk mengakses barangan dan kandungan pemain lain setelah pemain membuka sesuatu kawasan tersebut dengan ke perhentian Knot yang terdapat di dalam permainan ini, seakan fungsi “Tower” di dalam permainan dunia terbuka.

Namun tidak seperti permainan dunia terbuka lain kerana melalui Death Stranding, pemain bukan akan membuka senarai misi ataupun aktiviti yang terdapat di sesuatu lokasi tersebut, namun pemain akan membuka segala kesan-kesan ataupun kelengkapan yang ditinggalkan oleh pemain ini.

Ini adalah sangat penting kerana kelengkapan tersebut bukan sahaja akan membantu pemain jika pemain memerlukannya, malah pemain juga berupaya untuk berkongsi barangan-barangan seperti kasut, gajet, tangga dan sebagainya dengan meninggalkan di kotak “Post Box” ataupun di perhentian-perhentian Knot tersebut.

Selain itu jika pemain bermain secara atas-talian, ketika pemain bertempur dengan BT, pemain juga akan menerima bantuan yang sangat menarik untuk memudahkan pemain bertempur.

Saling Bantu-Membantu

Sekaligus atas sebab di atas, panduan seterusnya adalah berkenaan saling bantu-membantu antara pemain lain. Dengan Social Strand System yang diterangkan di atas, pemain secara tidak langsung akan berinteraksi antara satu sama lain walaupun tidak bertemu secara langsung.

Antara contoh konsep tolong menolong di dalam permainan ini adalah melakukan misi penghantaran barangan yang ditinggalkan oleh pemain yang mana anda juga akan mendapat ganjaran setelah anda melakukannya.

Selain itu, permainan ini juga menyertakan beberapa bentuk permintaan yang pemain boleh lakukan seperti meminta pemain lain untuk menghantar gajet khas untuk sesuatu lokasi dan sudah pasti akan membantu pemain untuk mengembara di dalam permainan ini.

Namun, semestinya kesukaan saya adalah sekitar episod ke-3 permainan ini, pemain berupaya untuk membina jalan raya yang mana ianya bukan sahaja akan membantu pemain untuk bergerak dengan lebih senang, malah memudahkan segala penghantaran pemain.

Melaluinya pemain perlu menggunakan pelbagai sumber untuk menghasilkan jalan raya tersebut, tetapi apa yang membuatkan ia lebih menarik adalah sumber tersebut dikongsi antara pemain-pemain lain sekaligus pemain berupaya untuk saling bantu-membantu bukan sahaja untuk memudahkan anda sendiri, malah pemain lain setelah jalan raya tersebut siap.

Lakukan Misi Sampingan

Semestinya permainan dunia terbuka seperti ini mempunyai pelbagai misi sampingan yang pemain boleh lakukan dan menariknya sekali, melalui misi sampingan yang terdapat di Death Stranding, pemain boleh dapatkan sebilangan pernaik-tarafan buat gajet ataupun kelengkapan pemain.

Ini sekaligus adalah sangat penting untuk memudahkan pengembaraan pemain dan penghantaran kerana kelengkapan-kelengkapan yang dinaik-taraf bukan sahaja mempunyai tempoh penggunaan yang lebih lama, malah ianya memudahkan pemain untuk bergerak lebih laju ataupun jauh.

Contoh yang saya boleh kemukakan adalah kasut pemain di mana ianya akan rosak untuk penggunaan jangka masa yang panjang. Namun, jika pemain mempunyai kasut yang berperingkat lebih tinggi, ianya akan bertahan lebih lama dan pemain tidak perlu sentiasa menukarnya. Sekaligus perjalanan pemain untuk menghantar barangan di dalam Death Stranding adalah lebih mudah.

Jangan Takut Untuk Bertempur Dengan BT

Sekitar awal permainan ini juga, pemain akan mendapat satu senjata bom tangan yang boleh digunakan untuk bertempur dengan BT. Bom tangan tersebut sememangnya sangat berguna dan bukan sahaja akan memudahkan pemain jika pemain bertempur dengan BT, malah ianya memberi satu kelebihan buat pemain.

Semestinya ketika pemain bertemu dengan kawasan yang dipenuhi BT, ianya berasa agak menakutkan dan sukar memandangkan pemain tidak berupaya untuk melihat musuh BT tersebut tanpa menggunakan bantuan BB. Namun, ini tidak bermakna mereka adalah satu musuh yang sukar.

Bahkan setelah saya menerima bom tangan “Hematic” tersebut, segala tempuran bersama BT menjadi sangat mudah dan ringkas. Ini kerana bom tersebut sangat berkuasa dan jika pemain membalingnya betul di kepala BT, ianya akan terus mati dengan satu letupan sahaja. Semestinya setelah pemain menaik-taraf bom tersebut, segala serangan pemain juga akan semakin meningkat.

Meskipun begitu ini juga tidak bermakna anda boleh terus bertempur dengan mereka secara membabi buta. Anda juga perlu bijak mengelak atas sebab kargo-kargo anda mungkin akan rosak jika bertempur dengan BT.

Meskipun begitu, panduan ini lebih kepada menerangkan yang mana musuh BT tidaklah begitu sukar untuk dilawan. Namun, jika diberi pilihan, lebih baik anda mengelak dari bertempur dengan mereka kerana dari segi ganjaran, mayat-mayat BT hanya akan memberi ganjaran Chiral Cystal sahaja.

Tak Perlu Cepat Habiskan Penceritaan Permainan

Death Stranding sememangnya satu permainan yang sangat panjang dan luas di mana ianya menyertakan pelbagai lokasi untuk diterokai bersama-sama dengan pelbagai kandungan penceritaan yang sangat mendalam. Atas sebab sedemikian, semestinya permainan ini berasa agak perlahan untuk dihabiskan.

Namun, setelah menerokai dunia Death Stranding lebih dari 60 jam, nasihat saya untuk anda adalah anda tidak perlu terlalu cepat untuk menghabiskan penceritaan permainan ini.

Namun saya perlu akui setelah anda berada di episod ke-3, permainan ini akan membuka lebih banyak ruangan pengembaraan dan pelbagai gajet-gajet yang menarik untuk digunakan. Namun setelah anda tiba ke episod tersebut, pastikan anda mengambil masa anda untuk mengembara dan juga menaik-taraf kelengkapan-kelengkapan anda.

Ini kerana Death Stranding bukanlah satu permainan beraksi yang sering diperlihatkan di dalam permainan dunia terbuka lain. Rentak permainan Death Stranding adalah lebih perlahan dan untuk menikmatinya, anda perlu bermain dalam keadaan tenang.

Selain itu, memandangkan permainan ini juga adalah sangat luas, saya juga mengesyorkan anda untuk terokai kawasan permainan ini dengan jalan ataupun laluan berbeza setiap kali anda membuat penghantaran. Ini bukan sahaja memudahkan untuk mencari jalan yang lebih pendek ataupun menarik, malah ianya memberi satu pengembaraan yang sangat berbeza setiap kali anda membuat penghantaran.


Death Stranding dilancarkan secara rasmi di konsol PlayStation 4 pada 8 November 2019 hari ini dan ianya juga dirancang untuk dilancarkan di PC sekitar tahun hadapan.

Dari segi ulasan pula, kami juga sebelum telah pun mengulas permainan Death Stranding yang mana kami berkongsi pelbagai informasi lanjut bentuk permainannya dan pendapat kami berkenaannya. Bagi anda yang berminat, anda boleh ke pautan di bawah.


TIPS & ULASAN