Informasi Permainan Video Terkini
Humble Mengumumkan Tiga Pelan Baharu Untuk Humble Monthly – Bermula Dengan RM21
PC

Humble Mengumumkan Tiga Pelan Baharu Untuk Humble Monthly – Bermula Dengan RM21

Diterbitkan pada Okt 21, 2019 oleh .

Humble Monthly merupakan perkhidmatan langganan yang disediakan oleh Humble di mana dengan bayaran bulanan, pemain boleh mendapat sejumlah permainan (secara purata 8 permainan) setiap bulan. Ia ditawarkan dengan harga $12 (RM50) sebulan.

Minggu ini, Humble mengumumkan perkhidmatan tersebut kini dipanggil sebagai Humble Choice dan mereka menyediakan tiga tahap harga berbeza yang mempunyai tawaran berbeza.

Selain itu mereka juga mempekenalkan Humble Trove di mana setiap pelanggan Humble Choice dapat bermain permainan yang terdapat di dalam Humble Trove selagi mana mereka merupakan pelanggan. Semasa penulisan ini terdapat lebih 60 permainan dan Humble menjanjikan permainan baharu setiap bulan.

Tiga tahap untuk Humble Choice yang ada adalah Lite, Basic dan Premium. Lite ditawarkan dengan harga $4.99 (RM21) di mana ia menawarkan permainan melalui Humble Trove sahaja dan juga potongan harga 10% untuk permainan di Humble Store.

Manakala Basic ditawarkan dengan harga $14.99 (RM62) sebulan, menawarkan 3 permainan percuma setiap bulan, Humble akan menyediakan sebilangan permainan dan pemain boleh memilih 3 daripada pilihan yang disediakan. Pelanggan juga dapat mengakses Humble Trove serta potongan harga untuk 20% di Humble Store.

Seterusnya adalah Premium yang ditawarkan dengan harga $19.99 (RM83) sebulan, ia menawarkan 9 permainan percuma setiap bulan, akses kepada Humble Trove dan potongan harga 20% di Humble Store.

Jika anda merancang untuk melanggan, terutama pelan Basic ataupun Premium, Humble juga membuat tawaran masa terhad, di mana pelanggan yang terus melanggan Humble Monthly iaitu RM50 sebulan semasa mereka menukar pelan tersebut, pelanggan akan terus kekal dengan harga tersebut dan mendapat pelan seakan Premium bahkan mendapat 10 permainan percuma setiap bulan berbanding 9.

Kesemua tawaran ini adalah untuk permainan di PC sahaja, jika anda berminat, maklumat lanjut mengenai Humble Choice, anda boleh guna pautan yang kami sediakan di bawah.

Langgan: Humble Choice

Penafian: Pautan mungkin mengandungi pautan affiliate.


TIPS & ULASAN