Informasi Permainan Video Terkini
Ulasan The Legend Of Zelda: Link’s Awakening – Permainan Olahan Semula Dengan Visual Dunia “Tilt Shift” Yang Comel

Ulasan The Legend Of Zelda: Link’s Awakening – Permainan Olahan Semula Dengan Visual Dunia “Tilt Shift” Yang Comel

Diterbitkan pada Okt 21, 2019 oleh .

The Legend Of Zelda: Link’s Awakening semestinya salah satu siri permainan Zelda yang agak terkenal lebih dari 20 tahun lepas kerana ianya adalah permainan pertama untuk siri tersebut ke konsol mudah-alih, iaitu Nintendo Game Boy. Permainan tersebut juga dilancarkan dengan versi naik-taraf dengan elemen berwarna, di konsol Game Boy Color dan menerima sebilangan kandungan baharu melaluinya.

Terkini, Nintendo membawa kembali permainan tersebut dengan nama yang sama sebagai satu permainan olahan semula dan ianya dilancarkan secara rasmi pada 20 September 2019 lepas khas di konsol Switch.

Meskipun begitu, adakah permainan ini masih lagi satu permainan yang menarik untuk dimainkan semula untuk tahun ini? Ini adalah ulasan saya untuk The Legend Of Zelda: Link’s Awakening.

Cerita

Semestinya penceritaan siri permainan The Legend Of Zelda tidaklah begitu kompleks, bahkan kesemua siri permainan tersebut selalunya akan memfokuskan pemain bermain sebagai Link dan bertempur dengan anasir jahat seperti Ganon, untuk menyelamatkan dunia dan Puteri Zelda.

Meskipun begitu, Link’s Awakening agak berbeza berbanding siri The Legend Of Zelda yang lain kerana permainan ini tidak langsung menyertakan sebarang watak Puteri Zelda, bahkan permainan ini juga tidak ditempatkan di Hyrule, iaitu lokasi utama buat siri-siri Zelda sebelum ini.

Kali ini, pemain akan ditempatkan di kepulauan Koholint, selepas Link terdampar selepas beliau menaiki satu perahu. Menurut kebanyakan laporan, permainan ini bertempatkan selepas The Legend Of Zelda: Ocarina Of Time, namun memandangkan permainan ini tidak langsung berkongsi sebarang kepastian berkenaannya, saya sendiri berasa ianya hanyalah satu teori sahaja.

Meskipun begitu, permainan ini sememangnya mempunyai penceritaannya sendiri dan anda tidak langsung perlu bermain siri permainan Zelda yang lain untuk mula bermain permainan ini. Bahkan saya berasa, Link Awakening merupakan satu permainan yang baik sekali untuk anda yang ingin bermula bermain siri Zelda.

Seperti yang saya terangkan di atas, The Legend Of Zelda: Link’s Awakening meletakkan pemain untuk bermain sebagai Link dan beliau terdampar di pulau tersebut. Untuk menyelamatkan diri dari pulau tersebut, pemain perlu mengumpul set alat muzik untuk memanggil Wind Fish dan dengan alat muzik tersebut, pemain berupaya untuk melarikan diri dari pulau itu.

Semestinya penceritaannya agak ringkas dan asas, bahkan jika anda bermain sehingga habis, anda sendiri pasti akan memahami keseluruhan penceritaannya tanpa perlu bermain berulang kali. Keseluruhan penceritaan permainan ini juga diterangkan melalui dialog-dialog sembang bersama-sama watak-watak lain yang terdapat di pulau tersebut yang mana ianya mempunyai pengalaman seakan permainan klasik buat siri tersebut.

Namun ianya juga memberi kesan yang agak buruk akibat ianya terlalu ringkas dan tidak langsung memberi saya sebarang motivasi untuk terus bermain. Saya memahami kenapa ianya mempunyai bentuk sedemikian, kerana ia asalnya hanyalah satu permainan di konsol Game Boy sahaja. Namun, untuk membeli permainan ini dengan harga penuh untuk bermain penceritaan yang ringkas dan terlalu asas, membuatkan permainan ini rasa tidak berbaloi untuk dimainkan.

Akan tetapi, saya percaya peminat siri Zelda mahupun mereka yang ingin mendapatkan pengalaman buat siri tersebut pasti akan menyukai permainan ini dan berpuas hati dengannya. Namun bagi anda yang ingin bermain sesuatu permainan yang mempunyai penceritaan yang mendalam dan kompleks, ini bukanlah permainan untuk anda.

Grafik

Dari segi visual grafik, permainan ini semestinya mempunyai satu bentuk grafik yang sangat menawan dan comel di mana hampir kesemua rekaan watak dan musuh di dalam permainan ini mengingatkan saya ianya seolah satu figura kecil di dalam dunia diorama.

Tambahan itu, permainan ini juga menyertakan efek kamera “Tilt Shift” yang mana kesan kabur tersebut juga membuatkan saya berasa seolah dunia permainan ini sangat kecil. Kebanyakan rekaan persekitaran permainan ini juga dihasilkan dengan baik, walaupun saya sendiri tidak pernah bermain permainan asal permainan ini, berdasarkan visual yang diperlihatkan oleh saya, olahan semula buat Link’s Awakening ini semestinya dihasilkan dengan baik sekali.

Meskipun begitu, permainan ini terdapat beberapa masalah dari segi kadar bingkai sesaat. Semestinya ianya bukanlah satu permainan dunia terbuka yang luas seperti Breath Of The Wild. Namun, saya mendapati ketika saya keluar daripada beberapa lokasi permainan ke bahagian dunia yang terbuka, kadar bingkai sesaat permainan ini akan jatuh seketika dan membuatkan permainan tersekat.

Saya juga dapati perkara yang sama akan berlaku ketika bertempur dengan beberapa musuh yang ramai. Ianya berlaku dengan rawak untuk masalah ini dan ia sedikit sebanyak merosakkan pengalaman permainan saya memandangkan permainan ini sudah pun mempunyai visual yang sangat menarik dan membuatkan sesi penerokaan saya terbantut seketika.

Walakin itu, permainan ini masih lagi menyertakan visual yang tersangat menawan dan boleh katakan satu terjemahan yang sangat baik sekali untuk mana-mana permainan klasik Zelda yang diolahkan semula. Bahkan saya berharap agar permainan-permainan Zelda yang mempunyai bentuk kamera atas seperti ini seperti A Link To The Past mahupun permainan The Legend Of Zelda yang pertama, diolahkan semula dengan visual grafik sebegini.

Audio

Dari segi audio permainan, semestinya permainan ini tidaklah mempunyai sebarang masalah yang besar, bahkan segala bentuk audio dan muzik yang terdapat di dalam permainan ini semestinya mengingatkan saya akan siri permainan The Legend Of Zelda yang mana pembangun berjaya membawa segala pengalaman siri tersebut di dalam permainan ini.

Meskipun begitu, memandangkan permainan ini mempunyai harga penuh dan juga satu olahan semula buat siri permainan Zelda, saya berharap agar mereka melakukan lakonan suara latar untuk watak-watak di dalam permainan seperti permainan Zelda sebelum ini.

Akan tetapi, dukacitanya permainan ini tidak langsung mempunyai sebarang lakonan suara latar, bahkan segala watak yang bercakap di dalam permainan ini hanya mengerang atau mendengus sahaja. Namun, saya memahami kenapa Nintendo berbuat demikian akibat mereka ingin mengekalkan elemen klasik buat permainan ini. Tetapi, memandangkan Breath Of The Wild sendiri yang dilancarkan beberapa tahun lepas mempunyai suara latar, membuatkan permainan ini berasa agak ke belakang.

Namun dari sudut audio yang lain, muzik latar di dalam permainan ini semestinya adalah sangat baik sekali, terutamanya muzik-muzik ketika saya mengembara di dalam dunia permainan ini. Saya juga menyukai kesan audio efek ketika saya bertempur ataupun menjumpai jalan rahsia di dalam permainan ini dan yang mana mengingatkan saya seakan satu permainan klasik The Legend Of Zelda.

Namun kesemua kesan tersebut hanyalah satu pengalaman nostalgia saya sendiri sahaja, bahkan saya percaya buat mereka yang tidak pernah bermain permainan Zelda sebelum ini, tidak akan merasai apa yang sendiri rasai ketika bermain permainan ini.

Kawalan

Jika anda lihat di paparan skrin permainan yang saya kongsikan di sepanjang ulasan permainan ini, anda sendiri pasti mengetahui bagaimana bentuk permainan ini sendiri di mana ianya menggunakan bentuk kamera atas bawah, yang mana kelihatan seperti permainan klasik sebelum ini buat siri The Legend Of Zelda.

Tidak dinafikan, bentuk ini semestinya adalah bentuk permainan pertama buat siri tersebut di mana ianya terbahagi kepada satu ruangan ‘kotak’ permainan dan pemain akan bergerak ke ‘kotak’ seterusnya apabila pemain ke arah yang ditetapkan.

Meskipun begitu, memandangkan permainan ini adalah olahan semula dan ianya dimainkan di konsol yang lebih berkuasa, ianya diberi bentuk nafas yang baru dengan dunia terbuka yang lebih luas dan lokasi-lokasi permainan ini tidak lagi dipotong mengikut skrin permainan dan pemain boleh terus terokai dunia permainan tanpa sebarang permuatan.

Namun, ianya masih terhad kepada kawasan terbuka permainan ini sahaja di mana setiap kali pemain memasuki gua “Dungeon” ataupun bangunan, ianya masih lagi akan dipotongkan ke skrin permuatan. Namun, ianya tidaklah merosakkan sebarang sesi permainan, dan setiap kali saya ke lokasi “Dungeon” seterusnya, ianya dimuatkan secara terus.

Secara asasnya, The Legend Of Zelda: Link’s Awakening dimainkan sama dengan permainan asalnya di mana pemain berupaya untuk menyerang, menahan dengan perisai dan mempunyai sebilangan senjata dan kelengkapan berbeza untuk bertempur ataupun menyelesaikan tekaria yang terdapat di dalam permainan ini.

Seperti permainan Zelda klasik sebelum ini, kelengkapan-kelengkapan tersebut boleh didapati setelah pemain maju di dalam permainan ini dan menyelesaikan tekaria-tekaria di dalamnya. Pemain kemudiannya berupaya untuk ke peta lokasi seterusnya dengan menggunakan kelengkapan-kelengkapan tersebut seperti keupayaan untuk melompat dan alat muzik Ocarina yang pemain boleh gunakan untuk memanggil sesuatu objek dan sebagainya.

Selain itu, memandangkan permainan ini dibangunkan di konsol Switch, Nintendo juga menyertakan 2 butang tambahan berbanding permainan asal sebelum ini yang mana pemain boleh tetapkan untuk meletakkan gajet ataupun kelengkapan tambahan yang pemain boleh gunakan serentak. Ini sekaligus memberi kebebasan yang lebih luas untuk pemain tanpa perlu menukarkan gajet dengan kerap.

Meskipun begitu, akibat pemain tidak berupaya untuk menukarkan gajet tersebut dengan pantas seperti menggunakan D-Pad ataupun sebagainya, pemain masih lagi membuka menu permainan untuk menukarnya dari semasa ke semasa dan ia membuatkan sebilangan sesi permainan yang agak menjengkelkan. Ini kerana saya sendiri menyukai tetapan untuk meletakkan butang X sebagai butang melompat dengan gajet Feather, yang mana sekaligus meletakkan ruangan saya untuk meletak butang tambahan hanya terhad kepada butang Y sahaja.

Permainan ini juga tidak menggunakan butang tambahan ZL dan ZR dengan baik, bahkan ianya adalah fungsi butang yang sama dengan L dan R, sekaligus ia berasa agak lewah untuk tidak langsung menggunakan butang tambahan tersebut.

Selain itu, seperti permainan asalnya, permainan ini juga banyak meletakan pelbagai watak dan musuh daripada siri-siri Mario, seperti Boo, Gomba dan sebagainya yang mana pasti memberi satu peluang “Cameo” yang sangat baik dan nostalgia untuk sesetengah pemain.

Bercakap berkenaan Mario, permainan ini juga mempunyai mod bawah tanah yang mana ianya akan menukarkan kamera permainan tersebut kepada mod sisi 2-dimensi seperti permainan Mario. Namun mod ini terhad kepada beberapa lokasi di “Dungeon” sahaja.

Dari segi aspek bentuk kawalan permainan lain, permainan ini tidaklah begitu kompleks, bahkan segala tekaria yang terdapat di dalam permainan ini agak asas dan mudah sahaja untuk diselesaikan. Sememangnya permainan ini mempunyai beberapa laluan rahsia yang pemain boleh terokai untuk mendapatkan barangan tambahan. Namun, ianya seperti permainan klasik Zelda sebelum ini, ianya hanyalah sebagai satu bentuk misi sampingan sahaja buat pemain.

Walakin itu, ini tidak bermakna permainan ini mempunyai bentuk permainan yang tidak baik, tidak sama sekali kerana saya sendiri sangat menyukai keseluruhan sesi permainan saya ketika bermain permainan. Semestinya Link’s Awakening mempunyai kandungan permainan sangat padat dan seronok untuk kesemua jenis pemain di luar sana yang mana saya pasti akan menyukai permainan ini bukan sahaja untuk peminat siri permainan Zelda, bahkan buat mereka yang ingin bermain siri ini buat pertama kali.

Tambahan itu, permainan ini juga menyertakan beberapa kandungan baharu seperti keupayaan untuk menghasilkan “Dungeon” pemain tersendiri berdasarkan “Dungeon” yang pemain pernah lawati di dalam keseluruhan permainan ini. Namun apa yang membuatkan fungsi ini adalah sangat menghampakan adalah keupayaan untuk berkongsi hasil “Dungeon” yang dihasilkan oleh pemain hanyalah boleh dikongsikan melalui fungsi Amiibo sahaja dan pemain tidak boleh berkongsinya secara atas-talian.

Untuk merosakkan lagi fungsi tersebut, rekaan “Dungeon” yang pemain boleh hasilkan hanyalah terhad untuk lokasi-lokasi yang pemain pernah lawati sahaja. Jadi, keseluruhan “Dungeon” yang dihasilkan oleh pemain hanya campuran-campuran “Dungeon” yang sedia ada sahaja, sekaligus tidak langsung memberi satu pengalaman baharu.

Dengan kata lain, permainan ini sememangnya satu permainan Zelda yang lengkap dan pelbagai dari segi kandungan dan ianya diolahkan dengan baik sekali sebagai satu permainan olahan semula buat permainan asal yang dilancarkan lebih dari 20 tahun lepas.

Akan tetapi, ini juga membuatkan permainan ini tidaklah mempunyai sebarang kandungan baharu yang berbaloi untuk dimainkan dan sekaligus membuatkan permainan ini berasa sangat biasa sahaja jika ingin dibandingkan dengan permainan Zelda lain, terutamanya Breath Of The Wild yang mana jelas sekali lebih baik dan besar berbanding permainan ini.

Kesimpulan

Akhir kata, The Legend Of Zelda: Link’s Awakening sememangnya satu permainan baik, bukan sahaja visualnya yang sangat menawan bahkan bentuk permianannya yang begitu padat dengan pelbagai lokasi untuk diterokai dengan pelbagai bentuk tekaria yang ringkas dan sesuai untuk semua lapisan umur pemain.

Akan tetapi, ianya juga terhad dengan bentuk yang terlalu asas dan penceritaan yang agak mengecewakan, membuatkan permainan ini tidak sesuai untuk dijualkan sebagai satu permainan penuh. Saya memahami yang mana permainan ini hanyalah satu permainan olahan semula untuk permainan yang asalnya hanya dilancarkan di Game Boy lebih dari 20 tahun lepas. Namun sebagai satu olahan semula dengan harga penuh membuatkan ianya kurang berbaloi untuk dimiliki dan dibeli.

Namun dari sudut pandangan yang berbeza, permainan ini juga adalah satu permainan permulaan yang baik buat mereka yang ingin berjinak dengan siri The Legend Of Zelda dan ingin mencuba sesuatu yang lebih mudah dan mencuba siri tersebut buat pertama kalinya.

Penafian: Permainan The Legend Of Zelda: Link’s Awakening disediakan oleh RentOri


TIPS & ULASAN