Dengan pelancaran permainan Call Of Duty: Modern Warfare yang semakin hampir sekitar penghujung bulan ini, Activision dan Infinity Ward hari ini mengesahkan beberapa informasi berkenaan permainan tersebut terutamanya yang berkaitan dengan kandungan tambahan dan DLC.

Menurut Activision, Call Of Duty: Modern Warfare tidak akan mempunyai sebarang pas musim, DLC berasingan dan juga sistem kotak tikam. Sekaligus, menurut mereka segala kandungan tambahan seperti peta lokasi buat multi-pemain dan mod tambahan permainan akan tiba secara percuma secara turutan, seperti yang mereka sahkan sebelum ini.

Selain itu, Activision juga mengesahkan bahawa permainan ini akan menyokong rentas-platform antara konsol dan PC melalui akaun COD yang pemain boleh daftar melalui akaun PSN, Xbox Live, Steam dan juga Battle.net. Menariknya, pemain juga boleh aktif dan nyahaktif fungsi tersebut bila-bila masa sahaja ketika bermain atas-talian.

Tambahan itu, Activision juga mengumumkan yang mana mereka akan melancarkan sistem pas langganan yang sering dipanggil “Battle Pass” di kalangan permainan-permainan lain yang mana pemain boleh dapatkan pelbagai ganjaran melalui langganan tersebut. Langganan tersebut juga akan tiba secara dua versi iaitu versi percuma dan versi berbayar dan ganjarannya tidak akan memberi kesan terhadap keseimbangan permainan dan hanya akan memfokuskan bentuk kandungan kosmetik sahaja.

Namun, sistem pas langganan tersebut tidak akan dilancarkan bersama-sama permainan tersebut pada 25 Oktober ini kelak dan ianya akan tiba sekitar lewat tahun ini.

Call Of Duty: Modern Warfare merupakan permainan penembak pandang pertama dan ia bakal tiba 25 Oktober 2019 ini di konsol Playstation 4, Xbox One dan PC.

Sohor Kini