Pertama kali saya mencuba Ni no Kuni: Wrath of the White Witch adalah 6 tahun lepas, ia adalah permainan RPG yang saya mempunyai masa yang baik bermain tetapi bukan permainan yang saya syorkan kepada rakan-rakan.

Ia bukanlah permainan yang tidak baik, bahkan ia mempunyai tarikan tersendiri, tetapi pada masa sama ia juga mempunyai pelbagai elemen yang menjengkelkan membuatkan saya tidak sangat menyukainya. Bulan lepas, Bandai Namco dan Level 5 mengumumkan versi Remastered untuk permainan tersebut, dan saya sekali lagi mencubanya.

Adakah ia mengubah pendapat saya mengenai permainan tersebut?

Remastered?

Sebelum saya menjawab persoalan tersebut, saya ingin menerangkan apa yang disertakan dengan versi Remastered ini. Pertama, Ni no Kuni: Wrath of the White Witch, sebelum ini hanya dikeluarkan untuk PlayStation 3 manakala untuk versi Remasterd ia hadir bukan sahaja untuk PlayStation 4 tetapi juga untuk PC.

Ia adalah mengikut permainan terbaru untuk siri tersebut iaitu Ni no Kuni 2: Revenant Kingdom yang tiba untuk kedua platform tersebut. Ia juga dikeluarkan untuk Switch tetapi untuknya ia adalah permainan versi asal yang dikeluarkan untuk PS3 dan bukan versi Remastered.

Kedua dan merupakan perkara utama adalah kualiti grafik serta kelancaran permainan yang lebih baik. Dikeluarkan untuk PS3, ia menyertakan grafik dengan resolusi 720p dan kadar kelancaran 60fps.

Melalui versi Remastered, ia akan menyertakan 1080p/60fps untuk PS4 biasa. Manakala untuk PS4 Pro ia memberi dua pilihan iaitu 4K/30fps ataupun 1440p/60fps. Manakala untuk PC, ia bergantung kepada spesifikasi dan juga pilihan anda.

Ketiga dan terakhir adalah DLC-DLC yang hadir sebagai ganjaran pra-tempah dan juga kandungan tambahan untuk versi PS3 juga disertakan bersama tetapi ia tidak penting kerana sekadar menambah barangan serta raksasa baru untuk diburu, tidak mengandungi sebarang penambahan penceritaan.

Selain daripada tiga perkara tersebut, versi Remastered masih lagi permainan Ni no Kuni: Wrath of the White Witch yang saya kenali daripada 6 tahun lepas. Tiada perubahan daripada segi penceritaan, perwatakan dan juga pertempuran. Oleh kerana itu, ia terus membawa apa yang saya suka mengenai permainan ini, dan juga perkara yang saya rasa menjengkelkan.

Ia adalah satu permainan JRPG yang mempunyai banyak perkara yang baik…

Perkara pertama mengenai permainan ini yang memukau saya adalah rekaan grafik terutama persekitaran yang sangat cantik di tambah lagi dengan adegan animasi yang bagaikan satu filem animasi. Ini adalah kerana permainan ini mendapat sentuhan daripada studio animasi terkenal iaitu Studio Ghibli, yang saya boleh katakan menjadikan permainan ini mempunyai rekaan grafik yang lebih baik dan menarik jika ingin dibandingkan dengan Ni No Kuni 2.

Permainan ini akan menyertakan satu kawasan yang pelbagai, dan setiap kawasan tersebut mempunyai keunikan tersendiri. Rekaan watak juga dihasilkan dengan variasi yang memberi perasaan satu dunia yang mempunyai pelbagai bangsa dan ia dilakukan dengan sangat baik.

Rekaan grafik tersebut juga kini menjadi lebih menarik dengan versi Remastered yang menyertakan resolusi lebih tinggi dan kelancaran yang lebih baik, namun oleh disebabkan gaya seni yang digunakan ia tidaklah mempunyai perbezaan yang ketara, tetapi sekurang-kurangnya Bandai Namco membawa satu versi yang lebih baik ke platform baharu dan bukan sekadar mengeluarkan kembali permainan lama.

Saya mencuba kedua-dua tetapan untuk PS4 Pro, dan saya berpendapat disebabkan perbezaan yang tidak ketara di antara dua resolusi tersebut, saya lebih menyukai pilihan 1440p/60fps walaupun saya menggunakan TV 4K. Kelancaran adalah stabil, walaupun ada beberapa tempat ia jatuh tetapi tidak secara mendadak dan juga kerap.

Muzik latar yang digunakan oleh permainan ini juga sesuatu yang sering saya rindui apabila bermain dahulu, dan ia juga hadir dalam versi remastered ini. Pengembaraan adalah jauh lebih menarik kerana muzik latar yang disertakan.

Seperti kebiasaan permainan RPG/JRPG, Ni no Kuni juga menyertakan kandungan yang padat dengan misi utama dan juga misi sampingan. Ia juga menyertakan satu konsep yang menarik iaitu kupon untuk setiap misi sampingan yang dilakukan, dengan memenuhi kupon ini, anda boleh menebus pelbagai barangan yang akan menjadikan pengalaman bermain yang lebih baik.

Misi-misi yang disertakan juga menarik untuk dilakukan kecuali misi yang memerlukan pemain untuk mencari barangan tertentu, ia agak membosankan. Namun, setiap misi sampingan disertakan penceritaan tersendiri yang serba sedikit memberi sebab untuk anda melakukannya selain daripada memenuhkan kupon.

Perkara seterusnya yang menjadi penarik untuk permainan ini adalah sistem pertempuran yang disertakan. Ia mempunyai sistem pertempuran mengikut turutan tetapi lebih aktif berbanding sistem turutan yang klasik. Pada awal permainan, anda berseorang, kemudian anda akan disertai oleh 3 lagi watak tetapi pada satu masa anda boleh gunakan tiga watak.

Setiap watak juga mempunyai ‘Familiar’ iaitu raksasa yang pemain boleh guna untuk menyerang. Anda boleh menukar daripada satu watak ke watak lain, anda juga boleh menggunakan familiar. Pertukaran antara watak, dan familiar memberikan pemain pelbagai serangan serta pertahanan yang berbeza.

Jika anda menggunakan satu watak, dua watak lain akan dikawal oleh A.I, kawalan tersebut agak mengecewakan akan tetapi sudah mencukupi untuk membantu anda, anda juga boleh menetapkan fokus pertempuran seperti menyerang ataupun bertahan.

Ni no Kuni juga menyertakan pertempuran boss yang menarik, ia akan memerlukan anda untuk memikir cara terbaik menyerang. Setiap boss juga mempunyai corak serangan tersendiri yang walaupun menjadikan pertempuran mudah dijangka, tetapi ia memberi kepuasan kepada pemain apabila mengetahui mengenai corak tersebut dan melawannya.

…dan ia juga menyertakan pelbagai kelemahan biasa untuk JRPG

Satu perkara yang menjadi perkara yang mengecewakan untuk permainan ini adalah penceritaan dan perwatakan. Permainan ini menyertakan rekaan dunia serta rekaan watak yang menarik, tetapi pengisian adalah sangat mendatar.

Walaupun saya bermain 6 tahun lepas, saya sudah merasakan penceritaan yang disertakan terlalu biasa dan tidak menarik, tambahan lagi jika saya bermain sekarang selepas kita menerima pelbagai permainan JRPG/RPG yang mempunyai penceritaan lebih mendalam. Penceritaan daripada mula lagi sudah dapat dijangka, selain itu kejadian plot serta yang menjadi fokus utama misi utama juga tidak menarik.

Ia juga tidak dibantu oleh perwatakan yang bagi saya sangat cetek dan kecuali watak Oliver iaitu watak utama, tiada watak-watak lain yang membuatkan saya kisah mengenai mereka. Perkara yang lebih mengecewakan, setiap watak mempunyai potensi untuk menjadi menarik, tambahan lagi rekaan yang baik, tetapi apa yang disertakan di dalam permainan ini sangat biasa.

Satu watak yang anda akan bertemu daripada awal lagi, dan sentiasa bersama anda, iaitu Drippy, saya sangat tidak menyukai watak tersebut. Pada awal saya merasakan mungkin makin lama, watak tersebut menjadi lebih baik tetapi saya boleh katakan ia berterusan menjengkelkan.

Familiar seperti yang saya bincangkan di atas adalah perkara menarik, anda boleh menangkap pelbagai raksasa di dunia permainan ini tetapi apabila anda sudah lama bermain, ia terasa sangat menyusahkan dan tidak se-menarik seperti mana anda mencari Pokemon. Tambahan lagi, rekaan raksasa yang disertakan sangat generik walaupun mempunyai beratus pilihan berbeza.

Bercakap mengenai Familiar yang pada asalnya adalah raksasa di dalam permainan ini, satu perkara lagi yang agak menjengkelkan adalah walaupun pada teorinya, ia tidak menyertakan pertempuran rawak seperti permainan JRPG klasik, anda sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan untuk mengelak atau bertempur.

Anda dapat melihat raksasa yang berada di sesuatu kawasan, tetapi tidak dapat mengelak walaupun anda tidak ingin bertempur terutama di kawasan yang sempit seperti di dalam gua. Oleh kerana itu anda akan terus dan terus bertempur walaupun anda berada di tahap yang sudah mencukupi. Apabila satu masa yang lama, ia menjadi sangat membosankan.

Ini ditambah lagi dengan sistem Save Point, semasa anda berada di kawasan luar, ataupun di bandar-bandar biasa, anda boleh menyimpan permainan pada bila-bila masa, tetapi apabila anda memasuki satu kawasan seperti kawasan gunung berapi, gua ataupun hutan anda hanya boleh menyimpan di sesetengah kawasan sahaja, walaupun ia juga menyembuhkan anda tetapi saya merasakan sistem tersebut tidak menjadikan permainan lebih baik.

Jarak antara dua save point juga agak jauh, ditambah lagi anda tidak sangat boleh mengelak daripada mati, melainkan anda mempunyai ubat penyembuhan yang mencukupi anda mungkin akan mati. Apabila anda mati, anda mempunyai pilihan, sama ada mengekalkan perkembangan semasa tetapi masih bermula pada Save Point terakhir, ia juga akan memerlukan bayaran sebanyak 10% daripada wang anda. Pilihan seterusnya pula, keluar daripada permainan, dan juga bermula daripada save point terakhir, ia adalah percuma tetapi menyusahkan dan anda juga kehilangan perkembangan yang berlaku sebelum anda mati.

Sistem save point disertakan mungkin untuk menjadikan permainan lebih sukar dan mencabar, akan tetapi ia lebih menyusahkan berbanding memberi cabaran.

Versi remastered ini untuk siapa?

Jadi untuk siapakah versi remastered ini? Saya boleh katakan terdapat tiga kategori pemain berbeza yang saya boleh memberi cadangan berbeza. Pertama untuk pemain yang sudah bermain permainan ini, jika anda menyukainya sebelum ini, anda akan lebih menyukainya sekarang.

Manakala jika anda tidak menyukainya sebelum ini, versi remastered ini tidak akan mengubah apa-apa mengenainya. Ia mungkin nampak lebih cantik dan mempunyai prestasi yang lebih baik tetapi pada asasnya ia masih satu permainan yang sama.

Seterusnya adalah untuk pemain yang tidak pernah mencuba permainan ini, jika anda menyukai permainan RPG terutama JRPG, ia adalah satu permainan yang baik dan saya boleh syorkan untuk anda mencubanya.

Ni no Kuni: Wrath of the White Witch Remastered sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4 dan PC pada 20 September 2019, manakala versi asal permainan tersebut juga dikeluarkan untuk Switch pada tarikh tersebut.

Penafian: Kod permainan Ni no Kuni: Wrath of the White Witch Remastered Disediakan Oleh Bandai Namco

Sohor Kini