Sudah banyak maklumat mengenai PlayStation 5 yang sudah dikongsi, termasuk juga bila ia akan dilancarkan. Sony juga mengumumkan alat kawalan baharu yang akan hadir bersama dengan konsol tersebut.

Satu perkara yang mungkin menjadi tanda tanya, terutama yang menyukai permainan realiti maya, adakah Sony akan mengeluarkan PSVR generasi baharu bersama dengan konsol tersebut?

Kami pasti Sony akan mengeluarkannya, tetapi tidak dapat diagak jika berhampiran dengan pengeluaran PS5, ataupun beberapa bulan selepas itu, terutama kerana Sony mengesahkan yang PSVR sedia ada, boleh digunakan di konsol baharu kelak.

Satu perkara yang mungkin memperlihatkan rekaan untuk PSVR generasi baharu adalah satu paten yang difailkan oleh Sony (dilaporkan oleh Let’s Go Digital). Paten tersebut memperlihatkan set kepala realiti maya tanpa wayar.

Set kepala tersebut mungkin akan disambung terus kepada konsol, atau mungkin kepada satu penerima lain yang disambungkan kepada PlayStation seperti yang diperlihatkan di dalam paten yang kami laporkan sebelum ini. Jika menggunakan penerima, ia mungkin akan membolehkan set kepala ini turut digunakan di PS4.

Set kepala ini dikatakan mempunyai mod lut sinar yang membolehkan anda melihat persekitaran, walaupun sedang memakai set kepala tersebut dengan menggunakan kamera yang tersedia di bahagian depan dan belakang set kepala tersebut. Ia adalah fungsi sama yang disertakan di set kepala Oculus Quest oleh Facebook yang juga merupakan set kepala tanpa wayar.

Wayar merupakan antara masalah kami dengan PSVR, ia menggunakan wayar yang sangat mengganggu, jika paten set kepala ini adalah benar, ia akan meningkatkan pengalaman bermain permainan realiti maya.

Sohor Kini