Kami sebelum ini melaporkan yang selepas beberapa hari dikeluarkan Call of Duty Mobile telah dimuat turun sebanyak 20 juta kali. Hari ini, berdasarkan anggaran oleh Sensor Tower, selepas seminggu dikeluarkan ia telah dimuat turun sebanyak 100 juta kali.
Kejayaan tersebut mengatasi rekod Mario Kart Tour yang dimuat turun sebanyak 90 juta kali pada tempoh yang sama. Jumlah mengikut platform pula memperlihatkan iOS mendahului dengan 55.7% berbanding Android. Manakala mengikut negara, Amerika Syarikat mendahului dengan 16.9%, diikuti India dengan 13.4% dan Brazil dengan 7%.
Bagi pendapatan pula, ia telah mengutip sebanyak $17.7 juta (RM74 juta) selepas seminggu dikeluarkan iaitu peningkatan mendadak berbanding laporan kami sebelum ini di mana ia mengutip sebanyak RM8 juta. Jumlah pendapatan tersebut disumbangkan oleh pemain di iOS sebanyak 53% dan Android selebihnya. Mengikut negara, Amerika Syarikat mendahului dengan 43.1%, seterusnya Jepun dengan 13.7% dan Brazil dengan 4.8%.
Call of Duty: Mobile yang dibangunkan oleh Tencent bersama dengan Activision, diedarkan oleh Garena di Malaysia dan boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play Store ataupun App Store.