Melalui kenyataan rasmi Sony melalui laman rasmi Playstation di Jepun, Sony mengesahkan bahawa PlayStation seterusnya ataupun PlayStation 5 disahkan bakal dilancarkan pada penghujung tahun hadapan. Sony juga mengesahkan konsol tersebut akan dipanggil PlayStation 5 ataupun PS5.

Menurut mereka lagi, pengumuman ini sememangnya bukan satu kejutan yang mana kami di Aksiz juga bersetuju yang generasi konsol seterusnya pasti akan berlangsung sekitar November tahun depan akibat Microsoft sendiri juga akan melancarkan konsol Xbox seterusnya oleh mereka pada November kelak.

Tambahan itu dengan tertirisnya beberapa imej reka bentuk kit pembangunan PlayStation 5 sebelum ini, kami percaya ramai pembangun sudah pun bersiap sedia untuk membangunkan permainan-permainan di konsol tersebut.

Menurut Jim Ryan iaitu presiden dan ketua pegawai ekskutif Sony Interactive Entertainment, mereka juga akan menyertakan sebilangan fungsi baharu yang akan tiba di alat kawalan PlayStation 5 yang mana mereka menjanjikan pengalaman permainan yang lebih imersif, sekaligus mereka ingin mengubah bentuk alat kawalan tersebut dengan inovasi yang berbeza.

Perkara pertama yang akan tiba buat alat kawalan baharu PlayStation 5 adalah mengubah fungsi gegaran alat kawalan Dualshock kepada teknologi haptic. Menurut Sony, melalui teknologi ini pemain akan merasai hasil gegaran tersebut dengan lebih meluas dan terperinci.

Inovasi kedua pula adalah butang kawalan L2 dan R2 yang mana mereka akan menukarkan kepada pemicu adaptif. Ini sekaligus memberi peluang kepada pembangun untuk menghasilkan butang pemicu yang lebih mendalam dengan tepat.

Ditambahkan pula dengan teknologi Haptic, Sony menjanjikan bahawa alat kawalan PlayStation 5 (mungkin akan dinamakan Dualshock 5) akan menghasilkan pengalaman permainan yang lebih realistik seperti saat di mana pemain menekan butang L2 atau R2 untuk menarik panah ataupun menekan butang tersebut untuk memecut di dalam permainan perlumbaan dengan kenderaan di litar yang kasar, pemain akan merasai segala gegaran tersebut melalui inovasi alat kawalan ini. Sony juga menyatakan bahawa teknologi tersebut juga akan memberi fungsi rintangan ketika pemain menggunakan butang tersebut, sekaligus memberi pengalaman yang berbeza ketika bermain, contohnya rintangan butang tersebut akan berbeza antara senjata mesingan dan senapang patah.

Selain itu, Sony juga mengesahkan alat kawalan tersebut akan menggunakan USB-C dan juga saiz bateri yang lebih besar, sekaligus membuatkan ianya lebih berat berbanding Dualshock 4. Namun, ianya masih lagi tidak seberat alat kawalan Xbox dengan bateri.

PlayStation

Menurut laporan Wired pula, permainan fizikal PlayStation 5 akan menggunakan cakera yang bersaiz 100GB, dan PlayStation 5 juga disahkan berupaya untuk mainkan cakera 4k Bluray.

Menariknya juga, dengan teknologi storan SSD, pemain juga diberi kebebasan yang lebih meluas untuk memasang permainan seperti memasang mod multi-pemain sahaja dahulu untuk sesuatu permainan, ataupun membuang bahagian solo apabila pemain selesai bermainnya.

Sony juga mengesahkan paparan antara muka PlayStation 5 akan diubah-suai dengan lebih mesra pengguna, yang mana pasti akan membantu pemain untuk menyertai sesi permainan atas-talian dengan lebih terperinci dan melihat lokasi dan keadaan pemain lain di dalam permainan video dengan lebih terperinci.

Dari segi permainan yang sedang dibangunkan, buat masa ini Sony tidak memberi sebarang informasi lanjut berkenaannya. Namun, Bluepoint Games iaitu pembangun yang bertanggungjawab untuk permainan olahan semula Shadow Of The Colossus mengesahkan bahawa mereka kini sememangnya sedang membangunkan permainan di konsol tersebut.

Semestinya ini merupakan satu perkara yang sangat mengasyikkan buat mereka ingin tingkatkan pengalaman permainan mereka. Dicampur pula informasi sebelum ini yang kami laporkan berkenaan prestasi konsol PlayStation 5 yang akan mempunyai masa permuatan yang lebih pantas dengan penggunaan SSD, fungsi keserasian belakang dengan permainan PlayStation 4 dan sokongan resolusi sehingga 8k dengan Ray-Tracing, sudah pasti akan membuatkan konsol PlayStation 5 akan sangat berkuasa sebagai konsol generasi seterusnya.

Sohor Kini