Sebuah firma guaman di Montreal, Kanada hari ini meminta kebenaran untuk menyaman Epic Games mengenai permainan Fortnite. Mereka melakukannya sebagai wakil ibu bapa kepada dua orang anak berumur 10 dan 15 tahun yang dikatakan ‘ketagih’ dengan permainan tersebut.

Saman tersebut mengambil kes rokok yang pernah dijatuhkan hukuman di mana syarikat rokok di Kanada perlu membayar pampasan kepada lebih 100 ribu perokok, asas kepada kes tersebut adalah syarikat rokok tidak memberi amaran yang mencukupi yang rokok adalah tidak baik untuk kesihatan.

Mereka cuba membawa asas yang sama, di mana Epic Games melalui Fortnite tidak memberi sebarang amaran kepada pemain yang permainan tersebut boleh menyebabkan ketagihan.

Firma guaman tersebut juga memetik keputusan World Health Organisation untuk menjadikan ketagihan permainan video sebagai satu penyakit.

Ibu bapa yang diwakili oleh firma tersebut mengatakan jika mereka mengetahui yang Fortnite boleh menyebabkan ketagihan, mereka tidak akan membenarkan anak-anak mereka daripada bermain permainan tersebut.

Setiap pemain yang bermain Fortnite telah bersetuju yang mereka tidak boleh menyman Epic Games tetapi menurut firma guaman tersebut persetujuan tersebut tidak sah di Quebec kerana Akta Pelindungan Pengguna mewajibkan syarikat untuk menyatakan risiko sesuatu produk.

Buat masa ini tidak disahkan lagi sama ada saman tersebut akan dibicarakan ataupun tidak. Epic Games juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

Sohor Kini