Respawn hari ini mengumumkan mereka bakal menganjurkan acara masa terhad untuk Apex Legends iaitu Fight or Fright yang menggunakan tema Halloween.
Acara ini akan berlangsung pada 15 Oktober sehingga 5 November yang menyertakan mod masa terhad dan juga pelbagai barangan di dalam permainan.
Mod masa terhad adalah Shadowfall di mana pemain akan bertempur di Kings Canyon pada waktu malam. Di dalam mod ini, 35 pemain (secara solo) akan bertempur. Pemain yang terbunuh, akan bangkit semula sebagai zombi dan menyertai “Shadow Squad”.
Pemain yang menjadi zombi tidak boleh menggunkan senjata ataupun Ultimate, sebaliknya dapat bergerak dengan pantas dan mempunyai serangan melee yang kuat. Zombi juga akan hidup semula apabila terbunuh.
Apabila hanya 10 pemain sahaja yang masih hidup, mereka perlu bekerjasama untuk menaiki kapal untuk melarikan diri manakala Shadow Squad perlu menghalang mereka.

Pemain berpeluang untuk mendapat pelbagai barangan dengan menyelesaikan cabaran di dalam mod terhad tersebut. Termasuk juga dua hiasan Legendary untuk senjata.
Respawn juga mengumumkan 24 barangan kosmetik yang direka khas untuk acara ini. Terdapat tiga cara untuk pemain mendapat barangan-barangan tersebut;
- Pembelian secara terus – setiap barangan tersebut akan terus boleh dibeli dengan harga 1,800 Apex Coins untuk Legendary dan 1,000 Apex Coins untuk Epic.
- Crafting – pemain boleh craft barangan Legendary mengunakan 2,400 Metals dan 800 untuk barangan Epic.
- Pemain juga boleh menggunakan kotak tikam Event Apex Packs yang boleh dibeli dengan 700 Apex Coins (ia juga menyertakan barangan bukan daripada acara ini).

Pemain yang mengumpul kesemua 24 barangan tersebut akan mendapat Heirloom set, yang akan disertakan sebagai sebahagian daripada Apex Packs apabila acara ini tamat.
Apex Legends sudah dikeluarkan dan percuma untuk dimainkan di PlayStation 4, Xbox One dan PC.