PixelOpus merupakan pembangun pihak pertama dari Sony Interactive Entertainment yang mana permainan pertama mereka iaitu Entwined telah pun dilancarkan pada 2014 lepas. Permainan tersebut merupakan permainan bentuk rentak muzik yang mana ianya lebih memfokuskan bentuk permainan secara arked dan penceritaan secara kiasan.
Setelah beberapa tahun sejak pelancaran permainan pertama, terkini PixelOpus akhirnya melancarkan permainan kedua mereka iaitu Concrete Genie, secara eksklusif di konsol Playstation 4 dan ianya bakal tiba esok, iaitu pada 9 Oktober 2019 ini secara rasmi buat pasaran Malaysia.
Semestinya permainan Concrete Genie ini bukanlah satu permainan yang berkelaskan AAA, malah ianya hanya dibangunkan oleh studio pembangun kecil sahaja. Meskipun begitu, permainan ini masih lagi mempunyai citarasanya tersendiri dan ini adalah ulasan kami.
Cerita
Concrete Genie merupakan permainan pengembaraan yang memfokuskan pemain untuk bermain sebagai seorang kanak-kanak yang bernama Ash, di bandar terbiar, Denska. Ash merupakan seorang kanak-kanak yang pendiam dan sentiasa berseorang diri di mana beliau sering melukis di buku nota beliau dengan pelbagai lukisan makhluk fantasi, sekaligus membuatkan beliau dibuli oleh kanak-kanak lain.
Penceritaan permainan ini digerakkan yang mana bandar Denska tersebut diserang dengan satu elemen atau anasir jahat yang membuatkan bandar tersebut berada di dalam kegelapan, juga disebabkan oleh pencemaran yang berlaku pada suatu ketika dahulu. Untuk menyelamatkan bandar tersebut, Ash secara tidak sengaja temui satu berus lukisan ajaib yang membenarkan beliau untuk menghidupkan lukisan beliau, dengan pelbagai makhluk-makhluk yang dipanggil “Genie”, di mana mereka akan membantu Ash untuk menumpaskan anasir jahat tersebut.

Melaluinya, Ash perlu menghidupkan semula bandar tersebut dengan melukis pelbagai jenis lukisan di dinding bandar Denska dengan berus ajaib tersebut dengan memberi semula kehidupan di bandar tersebut dengan pelbagai warna-warni lukisan yang menyerlah.
Walaupun penceritaan permainan ini agak ringkas, namun pada pendapat saya ianya harus dipuji kerana ia mempunyai beberapa elemen penceritaan yang sangat mendalam seperti isu buli dan pencemaran yang sangat berkaitan dengan dunia nyata. Tambahan itu, dengan elemen-elemen makhluk “Genie” tersebut, ianya juga membuka kepada penceritaan persahabatan yang mana sangat comel dan pada masa yang sama menghasilkan satu daya tarikannya tersendiri.

Di samping itu, buat anda yang ingin mencari permainan yang pendek, Concrete Genie sememangnya satu pilihan yang sesuai untuk anda di mana saya sendiri berjaya menghabiskan penceritaan utama permainan ini dengan sekali duduk sahaja sekitar 6 jam sesi permainan. Namun, ianya juga memberi kesan negatif akibat ianya berasa seakan mempunyai kandungan yang sedikit. Meskipun begitu, sekurang-kurangnya pemain masih lagi berupaya untuk mengembara di dalam dunia ini dengan mengumpul barangan-barangan koleksi ataupun bermain mod tambahan lain untuk memanjangkan sesi permainan.
Akan tetapi, apa yang saya sukai berkenaan permainan ini adalah ianya mempunyai 2 bahagian utama permainan yang mana ia membawa beberapa aspek penceritaan yang agak berlainan. Ianya agak sukar untuk saya terangkan tanpa membeberkan keseluruhan penceritaan permainan ini, namun bentuk ini semestinya mengapa membuatkan permainan ini unik dan berlainan dengan kebanyakan permainan lain.

Concrete Genie sememangnya satu permainan yang mempunyai penceritaan yang ringkas, namun masih lagi mengekalkan beberapa tarikannya tersendiri yang mana saya pasti akan menarik minat ramai pemain, terutamanya mereka yang menyukai penceritaan yang ringkas dan saat-saat manis bersama rakan-rakan dengan kehidupan kanak-kanak di samping berkaitkan isu dunia nyata seperti buli dan pencemaran alam sekitar.
Grafik
Semestinya visual grafik permainan ini adalah elemen yang paling mengasyikkan buat saya di mana Concrete Genie mempunyai visual elemen dengan arah seni yang sangat berlainan. Ianya tidaklah mempunyai rekaan visual yang nyata seperti permainan berkelas tinggi lain, namun apa yang membuatkan Concrete Genie ini menarik adalah elemen-elemen lukisan dindingnya yang sangat unik dengan rekaan visual seakan lukisan lakaran, yang mana pasti menghasilkan bentuk karya seni yang sangat cantik.

Rekaan lukisan tersebut juga diterjemahkan dengan baik di mana ianya sememangnya menerangkan visual elemen yang menawan, untuk melawan visual suram yang terdapat di dalam bandar Denska tersebut, sekaligus membuatkan elemen lukisan tersebut menjadi aspek yang sangat penting buat permainan ini.
Selain itu, saya juga menyukai beberapa elemen rekaan watak dan makhluk “Genie” yang terdapat di dalam permainan ini. Pada mulanya saya berasa rekaan “Genie” tersebut agak menakutkan dengan lukisan tangan yang agak rawak, namun setelah sejam atau dua sesi permainan, saya berpendapat bahawa visual permainan ini semestinya sangat unik dan comel sekali. Bahkan saya berasa rekaan yang dihasilkan oleh pembangun buat permainan ini merupakan satu karya seni yang sangat menggamit hati saya.

Tambahan itu, apa yang membuatkan permainan ini lebih unik adalah kebebasan untuk melukis di dinding-dinding bandar Denska dengan rekaan pemain tersendiri, sekaligus membuatkan permainan ini berasa lebih dekat terhadap pemain, kerana lukisan-lukisan yang dihasilkan oleh pemain akan terus kekal dan sekaligus membuat bandar Denska tersebut unik dengan hasil kreativiti pemain sendiri.
Audio
Tidak banyak yang saya boleh kongsikan berkenaan audio memandangkan ianya hanyalah biasa sahaja. Dari segi aspek muzik latar, ianya sememangnya mempunyai beberapa muzik yang mengasyikkan di campur dengan bentuk visual yang bergerak seiring dengan muzik latar permainan tersebut.
Meskipun begitu, dari segi aspek yang lain pula seperti suara latar, pada pendapat saya ianya juga hanyalah biasa sahaja. Kebanyakan lakonan suara watak yang dihasilkan tidaklah memberi satu pengalaman yang berlainan dengan kebanyakan permainan lain.
Akan tetapi, saya amat menyukai bunyi-bunyian yang dihasilkan oleh makhluk “Genie” tersebut yang mana pada pendapat saya agak comel, namun masih lagi mengekalkan elemen fantasi dan misteri yang sangat menarik sekali.
Namun begitu, terdapat juga beberapa aspek suara latar yang agak mengecewakan seperti beberapa watak sampingan yang agak janggal dicampur dengan lakonan yang agak kaku. Namun, ianya hanyalah terjadi buat beberapa watak sampingan sahaja.
Selain itu, aspek bunyi-bunyian persekitaran buat bandar Denska tersebut juga dihasilkan dengan baik seperti bunyi burung berkicauan, dan juga air-air yang menitip ketika pemain berada di dalam lokasi pembetungan yang mana menghasilkan pengalaman yang sangat nyata dan sangat bermisteri.
Kawalan
Semestinya aspek paling penting di dalam permainan ini adalah bentuk dan kawalan permainannya yang mana pada pendapat saya agak pelik untuk sesetengah bahagian. Tanpa membeberkan sebarang penceritaan, permainan ini mempunyai dua bahagian permainan yang mana kedua-duanya dimainkan secara berlainan.

Separuh pertama permainan ini lebih memfokuskan bentuk pengembaraan yang mana pemain akan bergerak dari lokasi ke lokasi bandar Denska dan melukis di dinding-dinding untuk menghidupkan semula bandar tersebut yang malap dan suram akibat anasir jahat yang menaklukinya.

Melaluinya, pemain diberi satu penanda aras buat lukisan yang dihasilkan oleh pemain di mana pemain perlu melukis di dinding bandar sehingga mentol-mentol yang tergantung menyala. Setelah mentol tersebut menyala, lokasi tersebut akan terus menyerlah, sekaligus tugas pemain selesai. Pemain kemudian ditugaskan untuk menghidupkan lokasi seterusnya dengan bergerak ke zon-zon lain di samping menyelesaikan tekaria ringkas.
Dari segi aspek lukisan, pemain diberi kebebasan untuk melukiskan satu bentuk lukisan di dinding dengan beberapa pencontoh berus yang disediakan. Contohnya terdapat satu objek matahari di mana pemain hanyalah perlu menghala berus lukisan tersebut dengan menggunakan menggerakkan alat kawalan Dualshock 4, dan terus menghayun alat kawalan tersebut dan lukisan tersebut akan terus terjadi. Ini kerana pergerakan berus pemain, digerakkan dengan menggunakan fungsi penjejak pergerakan yang terdapat di dalam alat kawalan Dualshock 4.
Terdapat juga beberapa halangan lukisan yang pemain perlu hadapi seperti dinding yang dihalang dengan anasir jahat tersebut, namun pemain boleh menewaskannya dengan menggunakan kuasa berus ajaib yang lebih berkuasa, setiap kali pemain berinteraksi dengan “Genie” yang mana saya akan terangkan di bawah.

Seperti yang saya cakapkan di atas, pemain akan diberi tugas untuk menyelesaikan tekaria ringkas seperti membuka butang untuk menghasilkan jambatan dan sebagainya, untuk bergerak ke lokasi seterusnya. Bentuk penerokaan tersebut juga menyertakan beberapa elemen tekaria yang ringkas yang memerlukan pemain untuk memanggil “Genie” untuk membantu pemain membuka haluan perjalanan. Menariknya, “Genie” tersebut hanya akan hidup di dalam dinding bandar Denska, dan pemain juga perlu menghasilkan laluan untuk mereka bergerak di dalam bandar tersebut.

Dari segi aspek “Genie” tersebut, pemain berupaya untuk menghasilkan makhluk “Genie” tersendiri dengan melukis badan, tanduk, ekor dan sebagainya yang mana mereka akan membantu pemain untuk menyelesaikan beberapa tekaria. Contohnya terdapat tekaria yang memerlukan pemain untuk mengaktifkan butang tersebut dengan kuasa elektrik, namun hanya makhluk “Genie” sahaja yang mempunyai kuasa tersebut, sekaligus pemain perlu menghasilkan “Genie” dan memanggil mereka untuk membantu pemain.

Pemain juga berupaya untuk berinteraksi dengan “Genie” tersebut seperti bermain bola bersama mereka ataupun melukis lukisan yang mereka minta seperti api, bunga dan sebagainya. Setelah pemain melakukan kehendak mereka, “Genie” tersebut akan memberi ganjaran buat pemain untuk meningkatkan kuasa berus pemain.
Dari segi aspek pengembaraan lain, pemain juga perlu mengelak daripada diserang oleh pembuli-pembuli yang mana ianya agak ringkas memandangkan mereka tidak berupaya untuk memanjat bangunan, dan pemain berupaya untuk melakukan demikian. Sekaligus untuk mengelak daripada di serang oleh mereka amatlah mudah dengan hanya pemain memanjat bangunan dan berada di lokasi yang tinggi sahaja.

Dari segi bahagian separuh kedua permainan ini pula, ianya lebih memfokuskan bentuk pertempuran yang sangat berlainan berbanding separuh pertama permainan ini. Ini kerana pada bahagian ini, pemain akan diberi kuasa untuk menembak kuasa-kuasa magis ber-elemen seperti elemen api atau elektrik di mana pemain akan bertempur dengan beberapa penjahat fantasi, juga daripada dunia “Genie” tersebut yang telah ditakhluk dengan anasir jahat dan kegelapan.
Ini bukan sahaja menghasilkan bentuk permainan yang berlainan, malah ianya mempunyai beberapa bentuk kawalan yang sangat berlainan berbanding bahagian pertama sehingga membuatkan saya berasa ianya adalah satu permainan yang berlainan.

Menariknya juga, melalui bahagian ini pemain juga diberi satu bentuk pergerakan yang lebih pantas di mana ianya membuka lebih banyak bentuk penerokaan yang lebih menarik untuk pemain terokai dunia bandar Denska tersebut.
Meskipun begitu, dukacitanya kedua-dua bahagian permainan ini pada pendapat saya agak berulangan dan membosankan. Ini kerana terdapat beberapa aspek permainan yang berulangan di mana ianya membuatkan pemain untuk melakukan perkara yang sama berulang-ulang kali sehingga membuatkan ia menjadi terlalu mendatar.
Bentuk pertempurannya juga agak ringkas di mana pemain akan mengelak dan hanya menyerang menggunakan tenaga elemen tersebut berulang kali sehinggalah musuh tersebut tewas. Pemain kemudian perlu menangkap makhluk tersebut, yang mana pada pendapat saya agak unik, namun jika dilakukan berulang kali dengan konsep yang sama untuk keseluruhan permainan, ia membuatkan Concrete Genie ini menjadi sangat bosan.

Selain itu, kawalan makhluk “Genie” juga agak rawak kerana pemain tidak langsung berupaya untuk mengawal mereka untuk menyelesaikan tekaria yang terdapat di dalam permainan dan pemain hanya berupaya untuk memanggil mereka sahaja. Bentuk ini mengingatkan saya dengan permainan The Last Guardian yang dilancarkan beberapa tahun lepas di mana kebanyakan tekaria yang disediakan adalah luar kawalan pemain dan pemain hanya mengharapkan kecerdasan buatan watak tersebut untuk menyelesaikannya.
Meskipun begitu, makhluk “Genie” tersebut sememangnya akan menyelesaikan tekaria tersebut jika mereka berada berdekatan dengan lokasi yang ingin pemain selesaikan. Namun, terdapat saat di mana mereka mengambil masa yang lama untuk ke lokasi tersebut dan ia membuatkan saya berasa seakan tunggul setiap kali saya menunggu mereka.
Walaubagaimana pun, permainan ini sememangnya mempunyai elemen kawalan permainan yang unik dengan penggunakan penjejak pergerakan melalui alat kawalan Dualshock 4. Namun, kebanyakan bentuk tersebut dilakukan secara berulang kali sehingga membuatkan ia menjadi terlalu berulangan, sekaligus membuatkan permainan ini menjadi bosan.
Akan tetapi, memandangkan ianya boleh ditamatkan dalam tempoh masa 6 jam sahaja dengan trofi PSN yang mudah untuk didapatkan, permainan ini mungkin akan menarik minat sesetengah pemain yang ingin bermain sesuatu yang ringkas.
Mod VR Dan Kandungan Tambahan
Selain dari kandungan permainan penceritaan utama, permainan ini juga mempunyai beberapa mod tambahan dan antaranya adalah mod “Free Painting” yang mana pemain diberi kebebasan untuk melukis di bandar Denska tersebut secara bebas tanpa perlu melakukan misi penceritaan ataupun bertembung dengan elemen penceritaan permainan seperti watak lain dan sebagainya.

Namun pada pendapat saya, mod ini agak tidak berguna memandangkan setelah pemain tamat bermain keseluruhan permainan ini, pemain masih lagi boleh terus bermain dan mengembara di bandar Denska tersebut. Mod ini hanyalah sekadar akan mengosongkan lukisan-lukisan yang telah pemain lakukan di dalam mod penceritaan dan seakan memberi kanvas kosong untuk pemain melukis sahaja tanpa sebarang bentuk permainan tambahan lain.

Meskipun begitu, permainan ini juga mempunyai satu lagi mod tambahan iaitu mod realiti-maya yang mana pada pendapat saya adalah mod tambahan yang paling menarik untuk permainan ini. Ini kerana ianya meletakkan pemain dalam bentuk perspektif pandang pertama untuk melukis di dalam dunia permainan tersebut. Dengan menggunakan alat kawalan Playstation Move, ianya juga membuka untuk pemain menghayun berus lukisan ajaib tersebut dengan lebih nyata.
Selain itu, saya juga menyukai di mana mod ini memberi pemain untuk memasuki dunia “Genie” tersebut yang mana pemain tidak lagi terhad untuk melukis elemen-elemen lukisan tersebut di dinding. Bahkan, dunia tersebut memberi kebebasan pemain untuk melukis di keseluruhan kawasan sekeliling pemain dengan bentuk lukisan 3 dimensi dan semestinya ia memberi satu pengalaman yang sangat mengasyikkan.
Akan tetapi, mod tersebut adalah sangat terhad dengan hanya satu sahaja lokasi yang mempunyai kebebasan untuk melukis di sekeliling pemain dan empat lagi lokasi hanyalah lukisan di dinding sahaja.
Kesimpulan
Concrete Genie semestinya adalah satu permainan yang ringkas dan menarik oleh sebuah studio pembangun yang kecil. Ianya mempunyai penceritaan yang sangat comel dicampur dengan elemen-elemen persahabatan bersama-sama dengan elemen dunia nyata yang mana pasti akan menarik minat ramai pemain di luar sana.
Tambahan itu dengan visual yang sangat menawan dicampur dengan lukisan-lukisan dinding dan makhluk “Genie” yang mempunyai rekaan yang unik, sudah pasti membuatkan permainan ini menjadi salah satu permainan yang harus dicuba buat mereka yang meminati bentuk permainan dengan elemen kesenian.
Meskipun begitu, keseluruhan penceritaan permainan ini agak pendek di mana ianya boleh dihabiskan sekitar 6 jam sahaja dan terdapat beberapa bentuk kawalan permainan yang agak berulangan, membuatkan permainan ini berasa agak bosan dengan kandungan yang minima.
Namun, disebabkan ianya juga banyak menggunakan elemen yang jarang sekali di gunakan di dalam permainan video yang lain, ianya mungkin akan menarik minat mereka yang ingin mencuba sesuatu yang baru di dalam dunia permainan video.

Penafian: Kod Ulasan Concrete Genie Disediakan Oleh Sony Interactive Entertainment Singapura